KUALA LUMPUR 5 Mei – Bonia Corporation Bhd berdepan kelemahan jualan dalam masa terdekat akibat permintaan menurun susulan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Affin Hwang Investment Bank (Affin Hwang IB) menjangkakan Bonia berdepan cabaran menaikkan harga produk, selain mencatatkan penurunan jualan 12% kepada RM188.2 juta bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (1H25), susulan jualan lemah di Malaysia dan Singapura.
Kedua-dua pasaran mencatat jualan negatif sejak suku keempat 2023, disebabkan perbandingan yang tinggi tahun sebelumnya ketika ketika pengguna berbelanja lebih selepas pandemik.
Affin Hwang IB menjelaskan prestasi tersebut lebih dipengaruhi oleh faktor ekonomi global berbanding isu dalaman syarikat.
Bonia mencatatkan keuntungan sebanyak RM8.1 juta, jauh di bawah jangkaan Affin Hwang Investment Bank dan anggaran pasaran, masing-masing hanya 31% dan 29% daripada unjuran tahun penuh.
Affin Hwang IB berkata, prestasi lemah berpunca daripada jualan yang rendah dan kos operasi lebih tinggi, khususnya kos jualan dan pengedaran.
"Pertumbuhan jualan Bonia kekal lemah antara 0.4% hingga 4% dari FY25 hingga FY27, dengan risiko penurunan jika ketidaktentuan ekonomi global seperti tarif AS terus menekan pasaran," kata Affin Hwang IB dalam satu kenyataan.
Bonia dijangka mengumumkan keputusan kewangan 3Q25 pada akhir Mei, dengan keuntungan bersih antara RM10 juta hingga RM12 juta, dipacu jualan lebih tinggi sempena Aidilfitri yang awal tahun ini.
Margin bersih dijangka kekal rata antara 11% hingga 12% akibat tekanan kos.
Di Malaysia, pengguna dijangka terus berhati-hati membelanjakan wang untuk produk mewah Bonia, yang puratanya RM800 hingga RM1,000 seunit. Namun begitu, dasar kerajaan yang menyokong mungkin memberi sedikit rangsangan.
Prestasi di Singapura dijangka terus suram. Pengurusan dijangka menutup cawangan yang tidak menguntungkan di sana bagi mengurangkan kos sewa dan buruh serta melindungi margin.
"Sebagai langkah mitigasi, pihak pengurusan dijangka menutup cawangan tidak menguntungkan di Singapura bagi melindungi margin syarikat. Tindakan ini akan mengurangkan kos sewa dan buruh, sekali gus meredakan tekanan margin," tambah Affin Hwang.
Sebagai langkah penjimatan, Bonia juga akan mengurangkan perbelanjaan promosi dan tidak merancang sebarang acara pemasaran besar buat masa ini. Sebaliknya, syarikat akan fokus kepada pemasaran strategik bersama pempengaruh untuk meningkatkan keterlihatan jenama.
Affin Hwang IB menaikkan saranan Bonia kepada "pegang", dengan harga sasaran lebih tinggi RM1.17 sesaham.- DagangNews.com








