Boeing, SEDC Energy dan Equatic jalin kerjasama bangunkan projek penyingkiran karbon di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Boeing, SEDC Energy dan Equatic jalin kerjasama bangunkan projek penyingkiran karbon di Sarawak

Kerjasama Boeing, SEDC Energy dan Equatic percepatkan peralihan tenaga hijau di Sarawak
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Boeing, SEDC Energy Sdn Bhd dan syarikat pakar penyingkiran karbon, Equatic menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan  pusat ujian khas penyingkiran karbon berasaskan air laut di Sarawak.

 

Projek itu disifatkan penting dalam memajukan teknologi penyingkiran karbon, selain menyokong strategi tenaga bersih kerajaan negeri yang dijangka membawa manfaat besar dari segi ekonomi dan alam sekitar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy, Robert Hardin berkata, sebagai cabang tenaga baharu milik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang dipertanggungjawabkan untuk memperkukuh agenda peralihan tenaga, kerjasama itu adalah langkah penting untuk memulakan teknologi penyingkiran karbon dan hidrogen.

 

“Walaupun pusat ujian khas ini masih bersifat demonstrasi, ia memerlukan sokongan ekosistem yang tepat untuk dibawa ke tahap seterusnya. 

 

“Sarawak adalah lokasi terbaik bagi pembangunan hidrogen bersih serta penyingkiran karbon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Melalui kerjasama itu, teknologi baharu Equatic yang menggunakan air laut, udara, batuan dan tenaga elektrik boleh diperbaharui akan menyingkirkan serta menyimpan karbon dioksida. 

 

Dalam masa sama, ia turut menghasilkan hidrogen hijau sebagai sumber tenaga masa depan.

 

Boeing pula akan menyediakan sokongan pembangunan projek tersebut yang dijangka mula beroperasi pada 2026.

 

Syarikat aeroangkasa itu menegaskan usaha mempercepat penyingkiran karbon adalah sebahagian daripada strateginya untuk mendekarbonkan industri penerbangan.

 

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Komersial Boeing Asia Tenggara dan Oceania, Erika Pearson berkata, kerjasama itu akan menyokong Dasar Peralihan Tenaga Sarawak serta mempercepat penerapan teknologi penyingkiran karbon global.

 

Pusat ujian khas itu dijangka menyingkir 365 tan karbon dioksida setiap tahun, selain menghasilkan 10 tan hidrogen hijau dan 80 tan kalsium karbonat (batu kapur).

 

Kos operasi pula akan diseimbangkan melalui hasil jualan daripada ketiga-tiga output berkenaan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Equatic, Gaurav N. Sant pula berkata, projek di Sarawak akan mempercepat penskalaan teknologi penyingkiran karbon syarikat itu dengan memanfaatkan kekuatan negeri tersebut dalam hidroelektrik dan hidrogen hijau.

 

Kerjasama ini merupakan projek kedua Boeing bersama Equatic, selepas perjanjian pra-pembelian pada 2023 untuk menyingkir 62,000 tan karbon dioksida serta membekalkan 2,100 tan hidrogen negatif karbon kepada syarikat itu. - DagangNews.com