KUALA LUMPUR 14 Okt – Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengguna pakai Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) sebagai kadar rujukan wajib bagi semua produk kewangan Islam mulai 1 Julai 2027, satu reformasi struktur utama dalam landskap kewangan Islam negara.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, MYOR-i merupakan penanda aras Islam pertama di dunia berasaskan transaksi sebenar dan akan membawa ketelusan, konsistensi serta pematuhan syariah ke dalam sistem kewangan Islam.
“Ini bukan sekadar pelarasan teknikal; ia adalah transformasi struktur,” kata Abdul Rasheed pada ucapan perasmian Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, langkah ini sebahagian daripada lima teras utama pembangunan yang sedang diterajui Malaysia untuk memperkukuh ekosistem kewangan Islam, termasuk mempertingkatkan struktur perkongsian risiko, memacu pembangunan inklusif, memperluas hubungan global, membangunkan bakat dan memperkukuh inovasi.
Abdul Rasheed menjelaskan inisiatif pertama menumpukan kepada kejuruteraan semula kewangan berimpak dengan memperluas penggunaan struktur perkongsian risiko seperti musharakah dan mudarabah yang menawarkan profil risiko dan ganjaran berbeza daripada pembiayaan berasaskan hutang.
“Pelancaran i-CITA bulan lalu, disokong oleh dana RM100 juta daripada kerajaan, bertujuan menggalakkan inovasi perkongsian risiko dan menyokong aplikasi kontrak syariah bagi projek berdaya maju.
“BNM juga sedang meneliti semula dasar kontrak syariah dan akaun pelaburan bagi menyediakan persekitaran kawal selia yang lebih kondusif untuk aktiviti perantaraan pelaburan,” katanya.

Inisiatif kedua memberi tumpuan kepada pertumbuhan inklusif melalui integrasi kewangan sosial Islam ke dalam sistem kewangan arus perdana.
Beliau memberi contoh program iTEKAD berasaskan pembiayaan campuran telah membantu komuniti meningkatkan peluang pekerjaan dan kemahiran.
“Program ini akan diperluas untuk meliputi perlindungan kewangan, disokong oleh geran padanan kerajaan RM5 juta bagi caruman takaful.
“Malaysia perlu bergerak daripada kejayaan terpilih kepada transformasi menyeluruh dalam kewangan Islam,” katanya.
Inisiatif ketiga ialah usaha meletakkan Malaysia di barisan hadapan dua pemacu pertumbuhan global utama, iaitu ekonomi halal dan kewangan mampan.
Beliau berkata, peluang dalam pasaran ini bernilai trilion dolar dan bukan pasaran niche semata-mata.
“Melalui Majlis Kepimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC Leadership Council), Malaysia meletakkan asas strategik bagi rangkaian hubungan global.
“Sembilan pemain industri termasuk sektor perbankan, takaful, pasaran modal dan perkhidmatan sokongan telah komited sebagai ahli pengasas Rangkaian Perniagaan MIFC (MBN), dengan jemputan penyertaan lebih luas akan diumumkan tidak lama lagi,” tambahnya.
Inisiatif kelima dan terakhir ialah pengukuhan bakat dan ekosistem inovasi.
Ketika ini, Universiti INCEIF berkembang melepasi peranan pendidikan menjadi pemangkin inovasi yang menyepadukan Maqasid Syariah dalam rangka kerja ekonomi dan dasar.
Tambahnya, di peringkat serantau, IBFIM memperluas kapasiti melalui Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF) yang kini disesuaikan untuk pasaran ASEAN termasuk Brunei, Indonesia, Filipina dan Singapura.
“Pelaburan dalam pembangunan bakat adalah penting untuk memastikan kewangan Islam menjadi peneraju global.
“Industri kewangan Islam global dijangka melebihi AS$9.7 trilion menjelang 2029 dengan kejayaan diukur bukan semata-mata melalui skala, tetapi juga berdasarkan kualiti, kepimpinan, dan inovasi yang berpandukan matlamat,” katanya. - BERNAMA








