BMS Holdings mencatatkan kejatuhan 14% pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BMS Holdings mencatatkan kejatuhan 14% pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 8 Dis – BMS Holdings Bhd mencatatkan penurunan ketara pada hari pertama penampilan sulungnya di Pasaran ACE hari ini, apabila sahamnya dibuka lebih rendah pada 19.5 sen, berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 22 sen sesaham.

 

Pada awal dagangan, kaunter itu cenderung susut ke paras terendah 18.5 sen, sebelum didagangkan pada 19 sen setakat jam 9.15 pagi, susut hampir 14%, dengan lebih 34 juta saham bertukar tangan.

 

Pada harga terakhir didagangkan itu, BMS Holdings bernilai pasaran kira-kira RM292.6 juta.

 

Penurunan tersebut berlaku susulan sambutan IPO yang sederhana bagi pengedar bahan binaan berpangkalan di Johor itu. 

 

Permohonan pelabur awam hanya melebihi dua kali ganda jumlah saham yang diperuntukkan, antara tahap langganan terendah untuk penyenaraian tahun ini.

 

Melalui IPO, BMS Holdings mengumpul RM80.1 juta hasil terbitan saham baharu, manakala RM34.3 juta lagi diperoleh melalui tawaran jualan oleh pemegang saham sedia ada.

 

BMS Holdings berkata, syarikat itu terlibat dalam aktiviti peruncitan, borong dan jualan projek bahan binaan, merangkumi jubin porselin dan seramik, batu kejuruteraan, batu semula jadi serta mozek, selain membekalkan produk pelengkap peralatan bilik air dan dapur.

 

Menurut prospektus, kira-kira 43% daripada hasil IPO akan digunakan bagi memperluas rangkaian peruncitan dan pengedaran, termasuk pembukaan bilik pameran baharu di Seremban, Selangor dan Kuala Lumpur, serta pembinaan pusat pengedaran baharu di Lembah Klang.

 

BMS Holdings turut memperuntukkan sebahagian dana untuk pembelian forklift kenderaan elektrik (EV) dan kerja naik taraf fasiliti sedia ada, termasuk cawangan runcit di Kota Damansara, Kepong dan Klang, serta pusat pengedaran Pasir Gudang.

 

Sebanyak 21% daripada hasil IPO diperuntukkan bagi penaiktarafan infrastruktur digital, termasuk pelaksanaan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) dan sistem pengurusan gudang (WMS) baharu, manakala baki dana digunakan untuk modal kerja, aktiviti pemasaran dan perbelanjaan penyenaraian.

 

Hasil daripada tawaran jualan saham pula disalurkan kepada lebih 10 pemegang saham, termasuk Pengarah Urusan Ang Kwee Peng dan Pengarah Eksekutif Lee Kok Chuan, yang mengasaskan perniagaan itu lebih tiga dekad lalu. - DagangNews.com