BMS Holdings catat hasil RM84.81 juta pada 1QFY2026 menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BMS Holdings catat hasil RM84.81 juta pada 1QFY2026 menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Dis – BMS Holdings Berhad iaitu peruncit dan pengedar jubin, permukaan batu, barangan bilik air dan dapur mencatatkan hasil RM84.81 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (1Q FY2026).

 

Ia adalah laporan kewangan interim pertama syarikat menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 8 Disember 2025.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BMS Holdings berkata, ia merekodkan keuntungan kasar RM28.62 juta, bersamaan margin 33.75%.

 

“Keuntungan sebelum cukai ialah RM7.35 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM5.39 juta dengan margin 6.36%.

 

“Selepas menolak perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM0.21 juta, PAT terlaras meningkat kepada RM5.60 juta, bersamaan margin 6.61%,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pengarah Urusan BMS Holdings, Ang Kwee Peng berkata, prestasi kukuh suku pertama menunjukkan kekuatan platform runcit dan pengedaran syarikat di seluruh negara, disokong permintaan stabil daripada saluran runcit, projek dan borong.

 

“Syarikat akan terus mengukuhkan keupayaan operasi, menambah rangkaian bilik pameran serta meningkatkan infrastruktur pengedaran untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

 

Menurut kajian pasaran yang dimasukkan dalam Prospektus syarikat, industri yang mengedar produk jubin dan permukaan bangunan di Malaysia masih berada dalam keadaan baik.

 

Ini kerana ekonomi negara dijangka berkembang antara 4% hingga 4.8% pada tahun 2025. Selain itu, sektor pembinaan juga dijangka pulih dan berkembang semula, disebabkan banyak projek pembangunan rumah, bangunan komersial serta projek perumahan mampu milik yang dijalankan.

 

Trend berkenaan dijangka mengekalkan permintaan bagi jubin seramik dan porselin dalam jangka sederhana.

 

Selaras strategi pertumbuhan, BMS Holdings merancang untuk mengembangkan kehadiran bilik pameran runcit, menaik taraf kemudahan gudang dan pusat pengedaran, serta menambah tawaran produk bagi memenuhi keperluan pasaran yang berubah.

 

Melalui proses IPO, BMS Holdings dijangka meraih RM80.08 juta. 

 

Daripada jumlah tersebut, RM34.28 juta diperuntukkan untuk pengembangan operasi dan fasiliti, RM17 juta bagi menaik taraf kemudahan dan sistem ICT, RM4 juta untuk pemasaran, RM18.80 juta untuk modal kerja dan RM6 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

Ditubuhkan pada 1993, BMS Holdings kini mengendalikan rangkaian bilik pameran di Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sarawak, selain mengurus jualan borong dan projek di seluruh negara. - DagangNews.com