KUALA LUMPUR 10 Okt - BMI, unit penyelidikan Fitch Solutions mengekalkan unjuran harga purata tahunan minyak mentah Brent pada AS$68 (RM287) setong bagi tahun 2025 dan AS$67 setong bagi 2026, berbanding AS$80 setong pada 2024.
Dalam laporan terbaharu bertajuk “Weekly Commodities Strategy: Brent Indicators Show Little Sign of Oversupply So Far”, BMI berkata jangkaan pasaran terhadap peningkatan mendadak bekalan minyak mentah tidak membawa kepada penurunan harga yang ketara.
Ia menjelaskan, pengumuman OPEC+ untuk menaikkan sasaran pengeluaran bagi November sebanyak 137,000 tong sehari menambah kepada pelonggaran sekatan pengeluaran yang ketara yang telah dirancang sepanjang 2025.
Harga mintak mentah Brent meningkat 1.4% berbanding minggu sebelumnya, dengan pasaran kekal neutral terhadap peningkatan pengeluaran yang akan datang kerana penunjuk utama kekal seimbang.
"Harga semasa minyak mentah Brent ialah AS$66 setong, lebih tinggi daripada jangkaan yang menunjukkan risiko kenaikan sederhana terhadap unjuran tahun ini.
"Namun, kami menjangkakan lebihan bekalan akan meningkat dalam suku-suku mendatang, sekali gus menolak harga lebih rendah,” katanya.
Firma penyelidikan itu menambah, paras inventori minyak mentah kekal stabil dan seimbang, dengan jumlah minyak mentah terapung hanya 2.1% lebih tinggi daripada purata lima tahun, walaupun terdapat peningkatan 21% baru-baru ini.
Katanya, keadaan itu mencerminkan cuaca yang lebih sederhana di Asia Barat yang mengurangkan penggunaan minyak mentah untuk penjanaan tenaga dan meningkatkan bekalan untuk eksport.
BMI turut menyatakan, stok minyak mentah di Eropah dan Amerika Syarikat kekal sejajar dengan purata sejarah, manakala ekonomi Amerika Syarikat (AS) terus menunjukkan ketahanan walaupun berdepan ketidaktentuan dasar perdagangan.
Firma penyelidikan itu juga menurunkan unjuran pertumbuhan pengeluaran cecair AS kepada 0.6% bagi 2025 daripada 2.3% sebelum ini.
Antara faktor sokongan utama kepada harga minyak ialah aktiviti peningkatan stok minyak oleh China, di mana harga yang lebih rendah menggalakkan pembinaan simpanan strategik. Laporan media menganggarkan import tambahan antara 500,000 hingga 750,000 tong sehari pada 2025.
“Jika harga minyak kekal dalam julat semasa, aktiviti pembinaan stok dijangka berterusan hingga 2026,” kata BMI, sambil menambah, sebarang kelembapan dalam import minyak mentah China boleh memberi tekanan kepada harga apabila kapasiti penyimpanan menghampiri hadnya. - BERNAMA








