KUALA LUMPUR 18 Ogos – BM GreenTech Bhd mengumumkan anak syarikat milik tidak langsungnya, Plus Xnergy Services Sdn Bhd (PXS), telah menandatangani dua perjanjian berasingan dengan Nefin V Power Sdn Bhd (NVP) bagi projek solar fotovoltaik (PV) bernilai keseluruhan RM95 juta.
Projek itu melibatkan pembangunan loji solar berkapasiti 29.99 MWac di bawah Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
CGPP adalah satu inisiatif yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia pada 7 November 2022 yang membolehkan pengguna korporat yang layak membeli tenaga boleh diperbaharui secara maya melalui Virtual Power Purchase Agreement (VPPA) dengan pengeluar tenaga solar.
BM GreenTech berkata, perjanjian yang dimeterai pada 15 Ogos 2025 itu merangkumi peranan PXS dalam aspek perolehan serta kejuruteraan dan pembinaan ladang solar tersebut.
“Daripada jumlah kontrak RM95 juta itu, sebanyak RM64.865 juta diperuntukkan di bawah perjanjian perolehan bagi membekalkan semua jentera, peralatan dan bahan termasuk panel PV serta struktur pemasangan.
“Baki RM30.135 juta pula adalah di bawah perjanjian kejuruteraan dan pembinaan yang meliputi reka bentuk, kejuruteraan, pengurusan projek dan pembinaan loji berkenaan,” kata BM GreenTech dalam kenyataan.
Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham Kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 serta sepanjang tempoh pelaksanaannya.
“Ini adalah sebahagian daripada operasi biasa Kumpulan, dengan risiko yang dijangka tidak melebihi tahap lazim bagi projek seumpamanya,” kata BM GreenTech. - DagangNews.com








