KUALA LUMPUR 14 Julai – Blueshark Ecosystem Sdn Bhd bersama rakan strategiknya, PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) bakal memperluaskan rangkaian stesen pertukaran bateri motosikal elektrik di 50 lokasi seluruh negara menjelang pertengahan tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Blueshark, Jeff Chong berkata, ketika ini, terdapat 20 stesen pertukaran bateri yang sedang beroperasi di seluruh negara.
Beliau berkata, pelan peluasan itu akan dimulakan di tiga kawasan tumpuan pengguna iaitu Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang dengan pelaburan sekitar RM50,000 bagi setiap stesen yang dibiayai bersama oleh Blueshark dan Petronas.
“Kita optimis dengan perancangan ini berikutan permintaan tinggi terhadap motosikal elektrik yang dijangka melonjak sehingga 10 kali ganda tahun ini.
“Ia perkembangan positif dalam industri dan kami yakin peluasan operasi di lebih banyak Lokasi akan memberi pulangan pelaburan yang munasabah,” katanya, lapor SunBiz.
Beliau turut menjelaskan kerjasama strategik dengan PETRONAS itu bukan sahaja memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap jenama syarikat, malah akan membuka akses kepada lebih 1,000 stesen minyak di seluruh negara dalam melancarkan proses pemasangan dan penggunaan stesen pertukaran bateri.
Tambahnya, sebahagian besar stesen PETRONAS ketika ini sudah dilengkapi sistem panel solar di bumbung yang berpotensi membekalkan tenaga bersih kepada infrastruktur bateri swap itu, selaras dengan aspirasi pelepasan sifar karbon (net-zero).
Beliau berkata, antara inisiatif lain Kerjasama itu termasuk membuka bilik pameran Blueshark di stesen PETRONAS terpilih serta memperkenalkan sistem ganjaran bersama program Mesra dan aplikasi Setel.
“Kami juga melihat potensi besar dalam segmen komersial melalui jaringan B2B PETRONAS. Ini akan mempercepatkan lagi penerapan e-mobiliti, bukan hanya di kalangan pengguna individu tetapi juga syarikat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kerajaan agar memberikan sokongan fiskal lebih menyeluruh dalam Belanjawan 2026, termasuk menyediakan subsidi pembelian motosikal elektrik kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Subsidi RM2,400 yang kini ditawarkan untuk kereta elektrik kurang memberi impak. Namun, nilai yang sama jika disalurkan kepada motosikal elektrik boleh memberikan manfaat langsung kepada jutaan penunggang dan kesan ketara kepada alam sekitar,” katanya.
Tambahnya, Blueshark kini menyasarkan untuk menjadi peneraju ekosistem motosikal elektrik negara, namun mengakui tahap penggunaan di Malaysia masih rendah berbanding negara jiran seperti Thailand dan Vietnam yang lebih agresif dari segi dasar dan insentif.
“Malaysia perlu mempercepatkan usaha dan menyediakan lebih banyak pembiayaan teknologi hijau agar kita tidak ketinggalan dalam gelombang mobiliti baharu ini,” tambahnya. - DagangNews.com








