Bitcoin cecah RM510,000 di Luno berikutan permintaan tinggi institusi dan dasar monetari global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bitcoin cecah RM510,000 di Luno berikutan permintaan tinggi institusi dan dasar monetari global

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai - Harga Bitcoin melonjak melebihi paras RM510,000 di platform dagangan Luno berikutan permintaan daripada pelabur institusi serta dasar monetari global yang semakin menyokong selera risiko terhadap aset digital.

 

Kenaikan itu juga termasuk permintaan kukuh daripada firma pelaburan dan syarikat tersenarai yang kini aktif mendapatkan pendedahan terhadap mata wang kripto tersebut sama ada melalui pembelian langsung atau dana dagangan bursa (ETF).

 

Luno menjelaskan momentum kenaikan harga turut dipacu oleh fenomena ‘short squeeze’ berjumlah lebih AS$200 juta menyebabkan apabila pelabur yang menjangkakan kejatuhan harga terpaksa membeli semula Bitcoin untuk menutup posisi mereka, sekali gus mempercepatkan lonjakan harga aset tersebut.

 

Keyakinan pelabur terhadap prospek Bitcoin dipacu oleh dasar monetari global Amerika Syarikat yang lebih terbuka terhadap industri kripto dan merangsang sentimen positif dalam pasaran aset digital.

 

Pengurus Negara Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata pasaran kripto kini semakin berkembang luas dan Bitcoin terus mendominasi sebagai peneraju utama.

 

“Walaupun masih terdapat keraguan terhadap kelas aset ini, Bitcoin kini muncul sebagai aset kelima terbesar dunia dari segi permodalan pasaran, selepas Apple,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Momentum kenaikan Bitcoin turut melonjakkan harga beberapa mata wang kripto alternatif (altcoin) seperti Stellar (XLM), Algorand (ALGO) dan Hedera (HBAR) yang masing-masing mencatatkan kenaikan melebihi 50% dalam tempoh seminggu.

 

Menurut Luno, ALGO dan HBAR yang telah diperkenalkan di Malaysia tahun ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha syarikat itu bagi memperluaskan senarai aset digital yang mematuhi kriteria ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).


Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap peningkatan penipuan pelaburan yang menyalahgunakan populariti Bitcoin sejak akhir-akhir ini.

 

“Elakkan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak realistik, khususnya melalui iklan media sosial. Platform yang dikawal selia tidak akan menggunakan pihak ketiga untuk melabur atau berdagang bagi pihak pelabur,” katanya. - DagangNews.com