Bintulu Port meterai tiga MoU percepatkan aspirasi Sarawak capai Sifar Bersih 2050 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintulu Port meterai tiga MoU percepatkan aspirasi Sarawak capai Sifar Bersih 2050

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Bintulu Port Holdings Bhd menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat antarabangsa bagi mempercepatkan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab serantau tenaga hijau dan bahan api mampan.

 

Majlis pertukaran MoU itu diadakan bersempena pelancaran rasmi Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) yang disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

MoU pertama dimeterai dengan Sakura Ferroalloys Sdn Bhd yang memfokuskan inisiatif dekarbonisasi bersama, termasuk pembangunan bioetanol dan bahan api penerbangan mampan (SAF).

 

Kerjasama ini bertujuan menterjemahkan matlamat kelestarian strategik kepada penyelesaian industri praktikal bagi mengurangkan pelepasan karbon dan mempercepatkan penggunaan bahan api bersih di rantau ini.

 

Sakura Ferroalloys ditubuhkan hasil usaha sama tiga pihak antara syarikat perlombongan Assmang Ltd dari Afrika Selatan, gergasi perdagangan Jepun Sumitomo Corp dan China Steel Corp dari Taiwan.

 

MoU kedua ditandatangani dengan Borneo Biogas Pte Ltd, pakar dalam pengeluaran biometan dan Bio-LNG daripada minyak sawit serta sisa pertanian.

 

Kerjasama ini akan menilai potensi penubuhan kemudahan pengeluaran Bio-LNG di Sarawak, termasuk pembinaan infrastruktur bunkering serta penggunaan Bio-LNG untuk menggerakkan kapal sokongan pelabuhan.

 

Ia turut melibatkan pertukaran pengetahuan teknikal dan operasi, sejajar dengan komitmen ESG jangka panjang Bintulu Port.

 

MoU ketiga pula melibatkan Jiangsu Guofu Hydrogen Energy Equipment Co Ltd, penyedia sistem tenaga hidrogen berpangkalan di China.

 

Melalui kerjasama ini, Bintulu Port berhasrat membangunkan fasiliti hidrogen cecair, yang akan menjadikannya pemacu utama logistik dan eksport hidrogen.

 

MoU ini juga memberi keutamaan kepada permintaan hidrogen tempatan bagi sektor industri dan pengangkutan, termasuk penggunaan kapal berkuasa hidrogen dalam operasi pelabuhan.

 

Bintulu Port memaklumkan setiap kerjasama akan dilaksanakan melalui kajian kebolehlaksanaan terperinci dan perbincangan teknikal berterusan bagi menetapkan kriteria kejayaan.

 

Langkah ini adalah selaras dengan sasaran Sarawak mencapai Sifar Bersih 2050 serta visinya untuk menjadi peneraju global dalam tenaga boleh diperbaharui dan rendah karbon. - DagangNews.com