Bintulu Port jalin kerjasama strategik dengan Abu Dhabi Ports, pacu pembangunan infrastruktur maritim Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintulu Port jalin kerjasama strategik dengan Abu Dhabi Ports, pacu pembangunan infrastruktur maritim Sarawak

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 8 Mei – Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Abu Dhabi Ports Group dalam usaha membina kerjasama strategik jangka panjang melibatkan pembangunan insfrastruktur pelabuhan dan logistik maritim di Sarawak.

 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di Pelabuhan Khalifa, Abu Dhabi pada Rabu.

 

Dokumen rasmi bagi perjanjian tersebut telah dipertukarkan antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Abu Dhabi Ports Group, Ahmed Al Mutawa.

 

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kerjasama itu bakal merangkumi pembangunan dan peningkatan infrastruktur pelabuhan, logistik maritim serta perkhidmatan berkaitan di Pelabuhan Bintulu antara pelabuhan terpenting di Malaysia Timur.

 

BPHB menjangkakan kerjasama tersebut akan membuka lebih banyak peluang pelaburan strategik, memperkukuh kecekapan operasi, dan menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai hab logistik serantau yang lebih berdaya saing.

 

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin dan barisan kepimpinan kanan kerajaan negeri.- DagangNews.com