KUALA LUMPUR 21 Ogos - Binastra Corporation Berhad menerusi Binastra Builders Sdn Bhd menerima kontrak RM132 juta daripada Exsim Lumba Kuda Sdn Bhd bagi pembangunan apartmen servis setinggi 63 tingkat yang dikenali sebagai Causewayz Square @ JBCC di Johor Bahru.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu merangkumi kerja-kerja tanah, cerucuk, pembinaan tapak konkrit dan dinding konkrit bertetulang.
Projek mega itu merangkumi 4,525 unit kediaman merantasi empat menara dengan kerja pembinaan dijadual bermula 2 September 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 16 bulan.
Pengarah Urusan Binastra, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, dengan kejayaan terbaharu itu, kumpulan itu kini sudah memperoleh empat projek di Johor Bahru, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM628.8 juta, meliputi kerja-kerja struktur utama dan substruktur bagi tiga pembangunan hartanah utama.
“Kami berbesar hati kerana sekali lagi diberi kepercayaan dan kali ini untuk kerja-kerja cerucuk bagi pembangunan terbaharu mereka di Johor Bahru.
"Kami amat menghargai keyakinan berterusan yang diberikan terhadap keupayaan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan, Binastra sedang giat meneroka peluang untuk menyertai kerja-kerja struktur utama bagi fasa-fasa pembangunan berkaitan, yang jika berjaya berpotensi menyumbang lebih 11,000 unit kediaman, termasuk fasa akan datang.
Kontrak terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kontrak yang dimenangi Binastra tahun ini mencecah RM1.5 bilion, sekali gus meningkatkan buku tempahan sedia ada kepada RM4.5 bilion. - DagangNews.com








