Binastra berpotensi raih kontrak utama Causewayz Square bernilai sehingga RM1.7 bilion - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra berpotensi raih kontrak utama Causewayz Square bernilai sehingga RM1.7 bilion - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Binastra Corporation Berhad berpotensi membida dan memenangi kontrak utama pembinaan projek mega Causewayz Square di Johor Bahru yang dianggar bernilai antara RM900 juta hingga RM1.7 bilion sekiranya berjaya menyempurnakan kerja-kerja awal bernilai RM132 juta, menurut penganalisis.

 

RHB Research berkata, kontrak semasa yang dianugerahkan Exsim Lumba Kuda Sdn Bhd merangkumi kerja-kerja tanah, cerucuk, penutup cerucuk dan dinding konkrit bertetulang bagi pembangunan sebuah pangsapuri servis setinggi 63 tingkat melibatkan 4,525 unit kediaman. 

 

Katanya, ia merupakan kontrak keenam syarikat bagi tahun kewangan 2026 (FY26), dan dijadualkan siap dalam tempoh 16 bulan, bermula 2 September 2025.

 

"Kejayaan Binastra dalam melaksanakan kerja semasa ini dengan baik akan meningkatkan keyakinan pemaju untuk menganugerahkan kontrak utama pembinaan bangunan kepada syarikat itu.

 

“Ia merupakan peluang besar bagi Binastra untuk melonjak ke tahap lebih tinggi dalam projek mega, dan menjadi kontraktor utama untuk keseluruhan pembangunan,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Causewayz Square adalah projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada empat menara, terletak hanya 600 meter dari Kompleks CIQ Johor-Singapura dan kira-kira 1 kilometer dari stesen RTS Link Bukit Chagar. 

 

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek itu dianggar antara RM2 bilion hingga RM3.5 bilion. Dengan anggaran kos pembinaan sekitar 50% daripada GDV, nilai keseluruhan kerja-kerja pembinaan boleh mencecah RM1 bilion hingga RM1.8 bilion. 

 

Bahagian awal kerja yang telah dianugerahkan kepada Binastra hanyalah RM132 juta, manakala selebihnya – merangkumi kerja struktur bangunan utama – masih belum dianugerahkan.

 

Sementara itu, TA Securities berkata, buku tempahan kerja Binastra kini berjumlahRM4.5 bilion menunjukkan kedudukannya yang kukuh.

 

Berdasarkan anggaran margin bersih sebanyak 9%, firma penyelidikan itu menganggarkan kontrak itu akan menyumbang kira-kira RM11.9 juta kepada pendapatan sepanjang tempoh projek.

 

"Kami menjangkakan momentum ini akan berterusan ke separuh kedua tahun 2025, disokong aliran projek bernilai RM2.5 bilion yang tertumpu di Johor. 

 

"Pemangkin utama termasuk pelancaran projek akan datang di Taman Pelangi, Jalan Lumba Kuda dan Kebun Teh oleh pelanggan utama seperti Exsim dan Maxim," katanya.- DagangNews.com