KUALA LUMPUR 21 Mei - Bina Puri Holdings Bhd mengesahkan, anak syarikat milik penuhnya, Bina Puri Sdn Bhd (BPSB), menerima petisyen pembubaran syarikat daripada Fujifilm Business Innovation Asia Pacific Pte Ltd berhubung hutang tertunggak sebanyak RM309,129.
Bina Puri berkata, petisyen itu difailkan oleh peguam Fujifilm, Tetuan Skrine pada 8 Mei lalu, dengan perbicaraan dijadualkan pada 6 Ogos 2025.
"Perkembangan ini lewat dimaklumkan kerana proses pengesahan butiran petisyen. Syarikat mahu mengelakkan penyiaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan pasaran," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Bina Puri menjelaskan, tunggakan yang didakwa oleh Fujifilm tertakluk kepada satu pelan penstrukturan semula hutang yang telah diluluskan oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Januari 2024.
Pelan tersebut melibatkan semua pemiutang termasuk Fujifilm dan menetapkan syarat pembayaran hutang sebelum tarikh akhir pelan.
"Syarikat melihat petisyen ini tidak wajar, tidak mengikut prosedur dan melanggar skim yang telah diputuskan," tegas Bina Puri.
Syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu juga meminta peguam Fujifilm membatalkan petisyen itu dan menuntut ganti rugi atas kerosakan reputasi yang berlaku.
Ia juga mengarahkan Tetuan Skrine menarik balik petisyen serta notis yang disiarkan dalam akhbar New Straits Times pada 20 Mei 2025.
"Petisyen ini tidak akan memberi kesan kewangan atau operasi serta-merta kepada kumpulan kerana BPSB bukan anak syarikat utama," ujarnya.
Baru-baru ini, Bina Puri menarik perhatian apabila saham waran B (BPURI-WB) melonjak pada 24 April 2025, bersamaan hari kejadian perdagangan tidak normal dilaporkan di Bursa Malaysia melibatkan kira-kira 80 akaun. - DagangNews.com








