BigPay, CTOS jalin kerjasama strategik mudahkan akses skor kredit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BigPay, CTOS jalin kerjasama strategik mudahkan akses skor kredit

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept – BigPay menjalin kerjasama strategik dengan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS), agensi pelaporan kredit utama Malaysia bagi membolehkan pengguna mengakses skor kredit mereka terus melalui aplikasi mudah alih BigPay.

 

Inisiatif itu bertujuan memperkukuh literasi kewangan golongan muda, sekali gus memudahkan mereka menjejak, memahami dan meningkatkan profil kredit masing-masing.

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan Interim CTOS Digital Berhad, Kevin Loh berkata, kerjasama itu akan menjadikan pendidikan kewangan lebih inklusif khususnya untuk anak muda Malaysia.

 

“Dengan integrasi Skor CTOS ke dalam platform yang digunakan setiap hari, pengguna kini boleh mengawal masa depan kewangan mereka. 

 

“Akses mudah kepada skor kredit membolehkan keputusan kewangan lebih bijak diambil, selain membina tabiat kredit sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BigPay, Aireen Omar pula berkata, BigPay yang kini mempunyai lebih 1.6 juta pengguna kad aktif, sebahagian besarnya terdiri daripada golongan muda, sentiasa komited memberi nilai tambah melalui ketelusan dan pendidikan kewangan.

 

“Kerjasama ini adalah lanjutan semula jadi misi BigPay untuk memperkasakan generasi muda dalam membuat keputusan kewangan yang lebih baik,” katanya.

 

Menerusi kerjasama ini, pengguna boleh menikmati akses segera kepada Skor CTOS melalui aplikasi BigPay, mendapatkan pandangan kesihatan kewangan serta mengakses alat pendidikan yang membantu meningkatkan tahap celik kewangan.

 

Sebagai sebahagian pelancaran, CTOS dan BigPay turut melancarkan kempen cabutan bertuah dari 2 Sept hingga 2 Dis 2025. 

 

Pengguna yang membeli Laporan Skor CTOS melalui aplikasi BigPay secara automatik layak memenangi tiket penerbangan pergi balik bernilai RM3,000 ke Perth, Australia.

 

Data CTOS berdasarkan lebih 250,000 permohonan produk kewangan menunjukkan skor kredit lebih tinggi meningkatkan peluang kelulusan serta akses kepada terma pinjaman lebih baik daripada institusi kewangan berlesen.

 

Inisiatif ini dilihat tepat pada masanya, ketika generasi Z Malaysia semakin aktif melancong dan mengutamakan pengalaman, tetapi masih berdepan cabaran memahami syarat kelayakan produk kewangan.

 

CTOS yang ditubuhkan pada 1990, adalah agensi pelaporan kredit swasta terbesar di Malaysia dengan pengalaman lebih 30 tahun, manakala BigPay dikenali sebagai aplikasi kewangan berasaskan teknologi dengan fokus pada ketelusan dan caj rendah. - DagangNews.com