KUALA LUMPUR 14 Mei – Padiberas Nasional Bhd (Bernas) akan menurunkan harga beras putih import di gudangnya daripada RM2,800 kepada RM2,600 bagi satu tan metrik bermula 15 Mei ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu bertujuan memastikan bekalan kekal stabil dan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
"Keputusan itu dibuat hasil sesi libat urus bersama Bernas dengan mengambil kira faktor seperti perkembangan pasaran global dan keperluan memastikan kesinambungan rantaian bekalan makanan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Itu merupakan pelarasan kedua selepas harga dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM2,800 satu tan metrik pada Disember tahun lalu.
Program subsidi beras putih import sebanyak RM950 satu tan metrik bagi Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa.
Mohamad Sabu berkata, penurunan harga tersebut membuktikan komitmen kerajaan Madani dalam memastikan beras kekal mampu milik, mudah diperoleh, dan mencukupi.
"Langkah ini juga hasil usaha Bernas mempelbagaikan sumber bekalan dari negara seperti Vietnam, Thailand, dan Myanmar bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran.
"Kementerian akan terus memantau pasaran dan memastikan dasar yang dilaksanakan berteraskan kepentingan rakyat serta keselamatan makanan negara," katanya.- DagangNews.com








