KUALA LUMPUR 11 Dis – Bermaz Auto Berhad dijangka menunjukkan pemulihan berperingkat pada tahun kewangan 2026, disokong pelancaran model baharu seperti Mazda 3 1.5L, Mazda CX-60 serta momentum jualan kereta elektrik XPeng, menurut penganalisis.
Bagaimanapun, penganalisis mengekalkan saranan Neutral/Pegang kerana pemulihan dijangka berlaku secara perlahan dan berperingkat, manakala prestasi separuh pertama FY26 menunjukkan margin yang rendah dan sumbangan kerugian daripada beberapa syarikat berkaitan.
Selain itu, potensi kenaikan harga saham adalah terhad dengan anggaran pulangan keseluruhan hanya sekitar -0.7%, walaupun dividen dijangka memberikan yield 5.7%.
Maybank Investment mengekalkan saranan Pegang dengan sasaran harga RM0.68 berikutan pemulihan jualan yang dijangka berlaku secara berperingkat pada FY26.
Firma penyelidikan itu berkata, jualan kenderaan Bermaz kini menunjukkan tanda pemulihan selepas tempoh kemerosotan teruk, dengan tempahan tertunggak melebihi 3,400 unit.
“Model baru Mazda3 dan CX-60 yang dilancarkan pada September–Oktober 2025 dijangka menyokong prestasi suku berikutnya.
“Selain itu, penamatan pengedaran Kia yang sebelum ini merugikan dijangka meningkatkan aliran tunai bebas Bermaz dan mengurangkan kos operasi.
"Syarikat juga mendapat sokongan daripada prestasi suku penuh model Mazda baru dan kesan positif kadar pertukaran asing terhadap margin kenderaan import sepenuhnya (CBU),” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Bagi sekutu Bermaz, Inokom dijangka mencatat pemulihan melalui peningkatan volum dan rasionalisasi kos, manakala Mazda Malaysia dijangka terus mencatat jualan lebih kukuh.
Prestasi XPeng pula menunjukkan momentum positif dengan jualan bulanan rekod melebihi 190 unit pada November 2025.
Maybank IB mengekalkan jangkaan bahawa Bermaz Auto kini keluar daripada fasa terendah dalam dua tahun terakhir dan prospek suku berikutnya lebih positif.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung Bermaz Auto susut 50% pada 2QFY26, disebabkan kejatuhan jualan Mazda dan Kia
Sementara itu, MBSB Research berkata, kerjasama Bermaz dengan pengeluar kenderaan elektrik XPeng juga dilihat positif, dengan sambutan baik terhadap model baharu mereka yang lebih luas, memberi impak tambahan kepada pendapatan dan memperkukuh kedudukan syarikat dalam pasaran EV tempatan.
Bermaz Auto juga kekal kukuh dengan kedudukan tunai lebih RM230 juta dan EBITDA melebihi RM110 juta setahun, yang menyokong kemampuan syarikat membayar dividen dan mengekalkan operasi berasaskan aset ringan.
MBSB Research mengekalkan saranan Neutral ke atas Bermaz Auto dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM0.65 daripada RM0.56, selepas meningkatkan gandaan penilaian daripada 6x kepada 7x FY27F EPS.
“Langkah ini mencerminkan jangkaan pemulihan jualan dan potensi peningkatan keuntungan susulan penamatan pengedaran Kia.
“Dalam 2QFY26, Bermaz Auto mencatat core PATAMI sebanyak RM18.7 juta, menjadikan jumlah 1HFY26 RM27.3 juta, atau 38%-40% daripada anggaran penuh tahun ini. Kumpulan turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.25 sen sesaham, menjadikan 1HFY26 berjumlah 2.0 sen sesaham (DPR: 85%).
“Walaupun pendapatan keseluruhan menurun -14.0% YoY disebabkan kelembapan operasi domestik Mazda dan Kia, prestasi XPeng terus meningkat, dengan jualan meningkat 2.3 kali ganda berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Secara suku ke suku, 2QFY26 menunjukkan peningkatan pendapatan +13.3% QoQ, disokong oleh jualan Mazda Malaysia yang meningkat +43.3% QoQ berikutan pelancaran model baharu. Ini berjaya mengimbangi kelemahan jualan Kia (-38.5% QoQ) dan Mazda Filipina (-24.6% QoQ).
MBSB Research berkata, pemulihan Bermaz Auto adalah secara berperingkat, disokong oleh pesanan sekitar 3,000 unit untuk Mazda Malaysia dan 250 unit bagi XPeng. - DagangNews.com








