Berjaya Land lancar Bayu Timur Residences di Kota Kemuning | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Berjaya Land lancar Bayu Timur Residences di Kota Kemuning

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 4 DisBerjaya Land Bhd melancarkan pembangunan kondominium pegangan bebas Bayu Timur Residences bernilai RM398 juta di atas tanah seluas 8.5 ekar di Berjaya Park, Kota Kemuning, Shah Alam.

 

Berjaya Land dalam kenyataan hari ini berkata, Bayu Timur Residences merupakan projek kedua terakhir dalam pembangunan Berjaya Park, dengan hanya satu lagi lot tanah berbaki untuk pembangunan masa depan.

 

Pengarah Eksekutif Berjaya Land, Tan Tee Ming berkata pelancaran projek tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan dalam meningkatkan nilai hartanah di Kota Kemuning.

 

“Pelancaran ini mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam meningkatkan pengalaman kediaman dan nilai keseluruhan kawasan ini. Syarikat percaya pembangunan ini akan terus mengangkat landskap perbandaran serta menawarkan pilihan gaya hidup yang berkualiti,” katanya.

 

Bayu Timur Residences akan menempatkan 518 unit kediaman merangkumi empat blok, terdiri daripada dua blok rendah setinggi empat tingkat dan dua blok tinggi 23 tingkat.

 

Unit ditawarkan dalam empat susun atur dengan keluasan binaan antara 1,000 hingga 1,280 kaki persegi, termasuk pilihan unit dwi-kunci.

 

Harga jualan bermula daripada RM500,000, manakala yuran penyelenggaraan ditetapkan pada 28 sen sekaki persegi termasuk dana penyenggaraan.

 

Projek ini dijadualkan siap sepenuhnya pada awal 2029.

 

Menurut Berjaya Land, setiap unit dilengkapi kemasan penuh termasuk bilik air siap pasang, kabinet dapur bersama hud dan dapur memasak, kunci digital, pemanas air segera serta unit penyaman udara.

 

Dari segi kemudahan, penduduk bakal menikmati lebih 30 fasiliti, termasuk kolam renang, dewan serbaguna, gimnasium, ruang kerja bersama serta kawasan hijau seluas dua ekar, selain sistem keselamatan tiga lapisan.

 

Dari sudut aksesibiliti, projek ini terletak bersebelahan Bukit Kemuning Golf & Country Resort dan mempunyai sambungan langsung ke lebuh raya utama seperti KESAS, LKSA dan ELITE, menjadikannya antara lokasi kediaman strategik di selatan Lembah Klang. - DagangNews.com