Bergelar Datuk Seri, rakyat Malaysia setuju Lee Chong Wei 'SANGAT LAYAK' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bergelar Datuk Seri, rakyat Malaysia setuju Lee Chong Wei 'SANGAT LAYAK'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Selepas hampir dua dekad mengabdikan diri dalam dunia sukan, lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus melakar pencapaian yang membanggakan apabila dikurniakan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang merupakan antara darjah kebesaran tertinggi Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri.

 

Rata-rata warga maya di laman sosial menyuarakan kegembiraan mereka dengan pencapaian bekas atlet kesayangan negara itu dan menyifatakan Chong Wei merupakan individu yang sangat layak diberikan pengiktirafan itu selepas sekian lama bekorban demi mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. 

 

 

 

 

 

 

Pengiktirafan itu diberikan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan disampaikan dalam istiadat rasmi selama empat hari bermula 27 Julai hingga 30 Julai 2025.

 

"Saya menerima gelaran Datuk pada tahun 2008 dan kini gelaran Datuk Seri.

 

lcw

 

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sekali lagi menganugerahkan gelaran ini. Saya amat bersyukur kepada Pulau Pinang kerana sentiasa memberi galakan kepada saya sepanjang tahun-tahun ini," katanya ketika ditemui di Dewan Seri Pinang, George Town, Pulau Pinang.

 

Chong Wei merupakan antara 1,530 penerima yang diraikan dalam sambutan berprestij itu.

 

Anak jati Pulau Pinang itu pernah menduduki ranking nombor 1 dunia kategori perseorangan lelaki selama 349 minggu secara keseluruhan, termasuk rekod 199 minggu berturut-turut dari 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012.

 

lcw

 

Chong Wei merupakan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik dan bersara pada 2019 selepas menjalani kerjaya badminton selama 19 tahun yang penuh dengan pencapaian gemilang.

 

Beliau mengambil keputusan untuk bersara selepas dinasihatkan doktor agar mengelakkan latihan berintensiti tinggi bagi mengelakkan kansernya berulang.

 

Sejak bersara daripada sukan profesional pada 2019, beliau aktif dalam pelbagai inisiatif keusahawanan dan juga kerja-kerja amal, menjadikan beliau tokoh masyarakat yang disegani. - DagangNews.com