KUALA LUMPUR 10 Okt – Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1 bilion bagi 2026 bagi memperhebat pelaksanaan pelbagai program di bawah Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, usaha itu merangkumi pelbagai inisiatif menangani kemiskinan, memperkasa komuniti luar bandar serta meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya belia dan golongan miskin tegar.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, beliau menegaskan pendekatan menyeluruh serta kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah kunci untuk menoktahkan kemiskinan tegar secara berkesan.
“Sumbangan sektor korporat dan individu sangat dihargai, terutama dalam menjayakan program Kampung Angkat, Sekolah Angkat dan Sejahtera Madani. Kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membina daya tahan ekonomi rakyat,” kata Anwar.
Antara inisiatif utama yang diperluas di bawah Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat termasuk Sejati MADANI yang diperluas kepada anak muda, termasuk program menjana pendapatan melalui mesin layan diri dan pertanian moden seperti sistem fertigasi.
Begitu juga pelaksanaan Kampung Angkat Madani yang disasarkan kepada 500 kampung pada tahun hadapan, meningkat daripada tahun sebelumnya.
Anwar turut mengumumkan Sekolah Angkat Madani bakal ditingkatkan kepada 1,500 sekolah, dengan penglibatan badan swasta secara aktif.
Tidak ketinggalan selepas kejayaan pemasangan 4,000 lampu solar di Sabah, program ini akan diperluas ke seluruh negara untuk meningkatkan akses kepada tenaga bersih di kawasan pedalaman.
Selain itu, beliau turut mengumumkan sumbangan oleh syarikat dan individu berpendapatan perniagaan untuk tiga program berkenaan akan layak menerima potongan cukai pendapatan.
Setakat ini, program Sejahtera Madani telah berjaya mengumpul RM120 juta dana daripada sektor swasta, yang digunakan untuk pelbagai inisiatif memerangi kemiskinan tegar.
Belanjawan 2026 turut menyaksikan komitmen luar biasa dari pimpinan negara, apabila Perdana Menteri sendiri dan Ketua Setiausaha Negara turun padang bagi menyelesaikan isu setempat di kampung dan sekolah angkat.
Anwar dalam ucapannya itu turut menyeru semua pihak untuk terus menyokong usaha ini kerana Ikhtiar Madani bukan sekadar program kerajaan, tetapi ia adalah ikhtiar bersama – demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara. - DagangNews.com








