KUALA LUMPUR 23 Sept – Pelaksanaan cukai karbon, reformasi subsidi, bantuan tunai dan dasar sokongan sosial dijangka menjadi antara perkara utama yang bakal diberi tumpuan dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober depan, kata CGS International Research.
Selain itu, CGSI Research juga berpandangan kerajaan tidak akan mengumumkan sebarang cukai baharu yang mengejutkan dalam Bajet 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, reformasi subsidi termasuk minyak masak dan diesel, bantuan tunai serta langkah sokongan lain dijangka kekal sebagai agenda penting kerajaan dalam belanjawan akan datang.
“Kerajaan dijangka menumpukan kepada penyelarasan subsidi dalam sektor tertentu termasuk pengedaran diesel di Sabah dan Sarawak, ketirisan minyak masak bersubsidi serta penggunaan diesel bersubsidi yang sepatutnya dikhaskan untuk industri perikanan.
“Kerajaan juga mungkin mempertimbangkan semakan semula subsidi gula kepada pengilang, selaras dengan matlamat kesihatan awam,” kata CGSI Research dalam nota kajiannya.
Firma itu menjangkakan kedudukan fiskal kerajaan semakin stabil dengan nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) diunjur menurun kepada 63% pada 2026, berbanding anggaran 64% pada 2025.
“Perubahan ini menandakan langkah besar ke arah penyatuan fiskal. Dengan Malaysia kini memasuki separuh penggal pilihan raya, kami percaya kerajaan akan menumpukan kepada penambahbaikan dasar sedia ada,” katanya.
Menurut firma tersebut, banyak ‘tanggungjawab berat’ telah dilaksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kerajaan dijangka mengekalkan momentum reformasi bagi memperkukuh konsolidasi fiskal.
“Mungkin tiada pengumuman cukai baharu yang mengejutkan, namun momentum reformasi akan terus berjalan, khususnya dalam aspek tadbir urus, jurang kekayaan, gaji, daya saing ekonomi dan peralihan tenaga hijau.
“Defisit fiskal pula dijangka menyusut kepada 3.4% daripada KDNK pada 2026 berbanding unjuran 3.8% tahun ini, meskipun tanpa pengumuman cukai baharu.
“Ini didorong oleh hasil kutipan lebih tinggi berikutan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pertumbuhan perbelanjaan pembangunan dan subsidi yang lebih terkawal,” kata firma itu.
CGSI Research berkata, kerajaan sudah memberi beberapa petunjuk menjelang pembentangan belanjawan, termasuk melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan Julai lalu serta beberapa jawapan di Parlimen.
“Antara langkah yang disebut termasuk peluasan cukai pro-kesihatan ke atas produk tembakau, vape dan alkohol menerusi kadar duti eksais yang lebih tinggi.
“Langkah kerajaan untuk memperkenalkan cukai karbon mungkin menjadi tumpuan utama susulan pengurangan subsidi tenaga tahun ini.
“Namun, pelaksanaannya dijangka bermula dengan kadar kecil sebelum diperluaskan secara berperingkat,” katanya.
Dalam sektor perumahan, firma itu menjangka kerajaan akan beralih kepada pelaksanaan model bina dahulu, jual kemudian bagi mengurangkan risiko projek terbengkalai.
“Ini akan menggantikan pendekatan jual dahulu, bina kemudian yang diamalkan ketika ini.
“Langkah lain yang dijangka diumumkan termasuk pembaharuan buruh, antaranya fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam, cadangan menaikkan umur persaraan serta usaha mengurangkan bilangan pekerja asing,” kata firma itu.
Tambahnya, Tahun Melawat Malaysia 2026 berpotensi disokong insentif tambahan seperti potongan cukai atau pinjaman murah bagi menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam industri pelancongan..- DagangNews.com








