Belanjawan 2026: PTPTN percuma untuk 5,800 pelajar miskin, kepujian kelas pertama di IPTA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: PTPTN percuma untuk 5,800 pelajar miskin, kepujian kelas pertama di IPTA

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt – Seramai 5,800 pelajar daripada keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam akan menikmati pendidikan percuma bermula tahun 2026.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu sebanyak RM120 juta diperuntukkan setiap tahun melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

 

“Selain itu, peminjam PTPTN yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA dan datang daripada keluarga berpendapatan rendah serta sederhana turut dikecualikan daripada bayaran balik pinjaman. 

 

“Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.

 

“PTPTN yang ditubuhkan untuk membantu anak bangsa keluar daripada kitaran kemiskinan melalui pendidikan, kini melangkah ke fasa baharu dengan pemberian pendidikan percuma,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 hari ini.

 

t

 

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan akan mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang berkemampuan tetapi culas membuat bayaran balik walaupun bekerja di luar negara.

 

“Bagi memperluas peluang pengajian, kerajaan turut menambah 1,500 tempat baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang utama di lima universiti penyelidikan, termasuk undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI) dan bahasa. 

 

“Langkah ini memberi ruang kepada lebih ramai anak muda cemerlang, termasuk lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan.

 

“Secara keseluruhan, peruntukan RM4.4 bilion disediakan oleh kerajaan dan GLIC sebagai biasiswa, pinjaman serta elaun pendidikan untuk anak muda daripada keluarga miskin,” katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, sektor swasta turut digalakkan menyertai usaha ini melalui insentif potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan biasiswa kepada pelajar berkelayakan di peringkat ijazah dan kelayakan profesional dalam bidang ICT, kejuruteraan, perakaunan dan kewangan.

 

“Dalam usaha membudayakan celik pelaburan, Program Celik MADANI oleh PNB diteruskan dengan pemberian pelaburan awal RM50 dalam ASB atau ASM kepada 200,000 pelajar. 

 

“PNB turut akan menawarkan 5 bilion unit tambahan bagi ASB 3 Didik dan ASM,” katanya.

 

Melalui Ikhtiar Dapur MADANI oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula, sebanyak RM26 juta diperuntukkan bagi menyediakan peralatan memasak dan bahan mentah kepada mahasiswa memerlukan, selain pelaksanaan Dapur MADANI melalui sumbangan CSR sektor swasta.

 

Program MySiswa Job On Campus pula memperkenalkan peluang pekerjaan sambilan di dalam kampus dengan peruntukan RM20 juta, membantu mahasiswa berpendapatan rendah menampung kos sara hidup sambil memupuk kemahiran keusahawanan.

 

Dalam menangani krisis penginapan universiti, KWSP dan Universiti Malaya (UM) akan merintis projek pembinaan 1,000 unit kediaman mahasiswa sebagai langkah awal penyelesaian jangka panjang terhadap isu kekurangan tempat tinggal dalam kampus. - DagangNews.com