KUALA LUMPUR 13 Okt - Peruntukan subsidi dan bantuan sosial dijangka berkurangan sebanyak 14.1% kepada RM49 bilion pada 2026 berbanding RM57.1 bilion pada 2025, sejajar dengan langkah kerajaan meluaskan reformasi subsidi bersasar yang kini menjadi tunjang kepada strategi penstrukturan fiskal negara.
MBSB Research berkata, penurunan itu mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih strategik untuk mengurangkan ketirisan, memperkukuh keberkesanan agihan subsidi, serta mengoptimumkan penggunaan sumber awam bagi tujuan yang lebih produktif dan inklusif.
Katanya, antara langkah utama yang menyokong reformasi itu ialah pelaksanaan rationalisasi subsidi RON95 melalui Program BUDI95, yang bertujuan menyalurkan manfaat dengan lebih tepat kepada rakyat tempatan berpendapatan rendah dan sederhana, sambil mengelakkan kebocoran kepada golongan bukan warganegara.
"Program BUDI95 kini turut diperluaskan kepada pemilik bot dan pemandu e-hailing, bagi memastikan kumpulan sasar utama dalam sektor-sektor penting ini terus menerima bantuan yang diperlukan tanpa menjejaskan fiskal negara.
"Selain itu, beberapa langkah subsidi bersasar lain turut dilaksanakan termasuk apungan harga ayam dan telur, penstrukturan semula tarif elektrik, serta penyelarasan subsidi diesel," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah-langkah rasionalisasi itu dijangka menjimatkan sekitar RM15.5 bilion setahun, sekali gus membuka ruang fiskal yang lebih luas untuk pelaburan dalam kebajikan sosial, infrastruktur awam berkualiti dan program kos sara hidup rakyat.
Katanya, kemajuan dalam reformasi subsidi itu penting bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam dalam jangka sederhana serta panjang.
Namun, kejayaan pelaksanaan subsidi bersasar itu bergantung kepada mekanisme penyampaian yang cekap, perancangan peralihan yang jelas dan komunikasi dasar yang telus, bagi mengurangkan ketidakpastian serta membantu isi rumah menyesuaikan diri dengan struktur harga baharu.
"Langkah kerajaan mengekalkan komitmen terhadap reformasi fiskal di bawah Belanjawan 2026 turut dilihat sebagai usaha ke arah kestabilan makroekonomi, pengukuhan daya tahan fiskal, dan penyusunan semula struktur ekonomi negara ke arah lebih mampan," katanya.
Sementara itu, MBSB Research berkata, perbelanjaan mengurus (OE) Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat secara sederhana sebanyak 1.8% kepada RM338.2 bilion pada 2026, berbanding RM332.1 bilion pada 2025, mencerminkan langkah kerajaan mengekalkan disiplin fiskal di tengah-tengah tekanan perbelanjaan melibatkan gaji penjawat awam, pencen dan bayaran perkhidmatan hutang yang semakin meningkat.
Katanya, pertumbuhan perlahan itu berpunca daripada kenaikan lebih sederhana dalam emolumen, yang dijangka meningkat 6.2% dan menyumbang hampir sepertiga daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus.
Peningkatan itu disokong oleh pusingan kedua pelarasan gaji penjawat awam yang akan berkuat kuasa pada Januari 2026, dengan purata kenaikan sekitar 7%, sebagai kesinambungan kepada reformasi struktur gaji sektor awam yang diumumkan tahun lalu.
Dalam masa sama, caj persaraan, iaitu komponen keempat terbesar dalam OE, dijangka meningkat sebanyak 6.8% kepada RM42.8 bilion pada 2026 (2025: RM40 bilion), selepas lonjakan ketara 11.6% pada 2025. Kadar kenaikan ini menggambarkan tekanan berterusan terhadap liabiliti jangka panjang kerajaan. - DagangNews.com








