KUALA LUMPUR 30 Sept - Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada 10 Oktober ini dilihat sebagai peluang terakhir kerajaan untuk melaksanakan reformasi dan inisiatif pertumbuhan yang lebih bermakna, sebelum dijangka mengadakan pilihan raya umum pada 2027.
RHB Research berkata, kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada ketahanan fiskal, pengukuhan asas ekonomi dan agenda memperkasa rakyat dalam belanjawan kali ini.
Katanya, defisit fiskal pula diunjurkan terus menyusut kepada 3.5% pada 2026 dan 3.2% pada 2027, dengan RM89 bilion perbelanjaan pembangunan diperuntukkan untuk tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
"Tahun 2025 menyaksikan pelaksanaan beberapa langkah penting, antaranya perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta pengumuman rasionalisasi subsidi petrol RON95, tetapi kami menjangkakan lebih banyak reformasi diperlukan bagi mengukuhkan fiskal negara.
"Cabaran utama kerajaan ialah menyeimbangkan antara usaha meningkatkan hasil negara dengan memastikan perniagaan tidak terbeban, memandangkan GST masih tidak diperkenalkan semula.
"Pada masa sama, kerajaan perlu menyalurkan bantuan mencukupi kepada golongan berpendapatan rendah, sambil menarik pelaburan baharu untuk melonjakkan industri ke rantaian nilai yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, pelabur pula menjangkakan belanjawan kali ini akan mengandungi inisiatif untuk menarik lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI) dengan mengurangkan kerenah birokrasi, pemberian insentif kepada industri untuk automasi dan digitalisasi.
Katanya, ia juga akan menyokong sektor pengguna dengan bantuan tambahan kepada golongan B40 dan bonus penjawat awam selain pengumuman langkah berkaitan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka memberi limpahan ekonomi kepada pelancongan, pembinaan dan hartanah.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, produk bergula dan produk berdosa (seperti rokok dan alkohol) mungkin berdepan kenaikan cukai eksais.- DagangNews.com








