Belanjawan 2026: Lembaga Pengarah perlu jadi pemacu reformasi tadbir urus - Institut Pengarah Korporat Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: Lembaga Pengarah perlu jadi pemacu reformasi tadbir urus - Institut Pengarah Korporat Malaysia

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Jackie Mah
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Okt – Belanjawan 2026 menggariskan hala tuju ke arah pentadbiran korporat yang lebih berintegriti dan berakauntabiliti, namun kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada sejauh mana Lembaga Pengarah mampu memimpin barisan hadapan untuk melakukan transformasi.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Jackie Mah berkata, walaupun kerajaan sudah banyak menggubal dasar dan menyediakan peruntukan besar, kejayaan sebenar bergantung pada sejauh mana kepimpinan tertinggi organisasi melaksanakan dan mengukuhkan prinsip tadbir urus tersebut di peringkat operasi.

 

Menurutnya, Belanjawan 2026 menunjukkan komitmen serius kerajaan terhadap reformasi tadbir urus dan integriti institusi melalui peruntukan RM700 juta bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dan mempertingkat ketelusan pentadbiran negara.

 

“Tadbir urus yang baik bukan hanya mengenai peraturan atas kertas. Ia perlu diterjemahkan kepada tindakan yang nyata di semua peringkat organisasi, daripada lembaga pengarah hinggalah ke barisan pengurusan dan pelaksana,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Jackie menegaskan, tanggungjawab memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan bukan hanya terletak di bahu sektor awam, tetapi perlu dipikul bersama oleh sektor korporat, syarikat milik kerajaan, perniagaan keluarga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Katanya, lembaga pengarah berada pada kedudukan strategik untuk memastikan setiap organisasi mengamalkan standard tadbir urus yang tinggi, termasuk integriti, ketelusan dan akauntabiliti.

 

Beliau turut menarik perhatian terhadap penekanan kerajaan kepada agenda kelestarian dalam Belanjawan 2026, termasuk sokongan terhadap National Energy Transition Roadmap (NETR), Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bernilai RM3 bilion serta pelancaran Fasa 2 Pasaran Karbon Sukarela.

 

“Peralihan tenaga dan kelestarian kini bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik. Lembaga pengarah mesti memberi pengawasan rapi terhadap risiko dan peluang berkaitan perubahan iklim,” katanya.

 

Tambah beliau, pengurusan iklim dan alam sekitar akan menjadi faktor penting dalam mewujudkan nilai jangka panjang dan memastikan daya saing syarikat di peringkat serantau dan global.

 

Dalam masa sama, ICDM menyambut baik Dana Kepimpinan dan Tadbir Urus Wanita bernilai RM30 juta yang bertujuan melatih 500 wanita bagi peranan lembaga dan pembuat dasar. 

 

Beliau berkata, inisiatif itu mengukuhkan komitmen negara terhadap kepelbagaian dan kepimpinan inklusif.

 

"ICDM turut memperkukuh usaha kepelbagaian dan pembangunan bakat pengarah melalui Directors Registry yang kini menghimpunkan lebih 1,500 ahli merangkumi pelbagai kemahiran, latar belakang dan pengalaman, bagi membentuk barisan calon lembaga yang lebih menyeluruh dan berdaya saing.

 

“Kepelbagaian dalam lembaga bukan sekadar simbolik. Ia memberi nilai tambah melalui pelbagai perspektif, kemahiran dan pengalaman yang lebih luas untuk memperkukuh kualiti keputusan,” ujarnya.

 

ICDM turut menyokong pelaksanaan ASEAN Business Status Entity (ABE) yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang akan membolehkan syarikat Malaysia mengembangkan operasi mereka ke pasaran ASEAN.

 

Jackie berkata, langkah ini sejajar dengan visi ICDM untuk memperkukuh mobiliti bakat dan kepimpinan di peringkat serantau melalui inisiatif seperti ASEAN Directors’ Registry dan ASEAN Institute of Directors Network.

 

“Kami mahu melihat lebih ramai pengarah Malaysia berperanan aktif bukan sahaja dalam syarikat tempatan, tetapi juga di peringkat ASEAN, bagi menjadikan rantau ini sumber bakat lembaga pengarah yang kompetitif.

 

“ICDM komited menyokong transformasi ini melalui pelbagai program pembangunan pengarah termasuk Aspiring Directors Immersion Programme (ADIP), pensijilan pengarah bertauliah dan rangkaian profesional bagi memperkukuh keupayaan lembaga,” ujarnya.

 

Katanya, pelaksanaan dasar yang efektif memerlukan kepimpinan berani, berprinsip dan berwawasan yang bermula daripada bilik lembaga pengarah.

 

“Malaysia mempunyai kestabilan dan ketelusan yang menjadi kelebihan dalam menarik pelaburan. Namun, untuk memastikan daya tahan jangka panjang, kita mesti memperkukuh pelaksanaan dasar tadbir urus secara menyeluruh,” tegasnya. - DagangNews.com