Belanjawan 2026: Kerajaan peruntuk RM12.8 bilion perkukuh ekosistem usahawan Bumiputera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: Kerajaan peruntuk RM12.8 bilion perkukuh ekosistem usahawan Bumiputera

Gambar: Bernama
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Kerajaan terus memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dengan pelbagai inisiatif bernilai tinggi merangkumi pembiayaan, pelaburan teknologi dan sokongan pasaran eksport melibatkan jumlah keseluruhan melebihi RM12.8 bilion.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memastikan kelangsungan dan daya saing usahawan Bumiputera, khususnya dalam kalangan kontraktor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat teknologi tempatan.

 

Beliau berkata, sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan khusus kepada kontraktor Bumiputera G1 hingga G4, bagi memperkukuh kedudukan mereka dalam sektor pembinaan dan kerja awam.

 

"Selain itu, daripada RM30 bilion jaminan kerajaan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sejumlah RM10 bilion dikhususkan untuk menyokong usahawan Bumiputera, termasuk syarikat yang berpotensi berkembang ke pasaran lebih luas.

 

"Bagi memperluas pasaran eksport, Program Jaguh Serantau SME Bank akan menyediakan pinjaman sebanyak RM200 juta kepada PKS Bumiputera berpotensi tinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi hab perniagaan serantau.

 

"Sementara itu, Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA turut menyediakan RM100 juta bagi menyokong syarikat pemula yang beroperasi dalam sektor strategik bernilai tinggi seperti teknologi, tenaga boleh baharu, dan digitalisasi industri," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, bagi meningkatkan daya saing kontraktor muda, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memperuntukkan RM10 juta untuk latihan, pensijilan dan pembangunan kapasiti.

 

Dalam masa yang sama, katanya, VentureTECH, syarikat pelaburan strategik milik kerajaan, kini telah melabur dalam 31 syarikat teknologi Bumiputera, dengan sembilan daripadanya berjaya menembusi pasaran global.

 

Bagi memperkukuh lagi penguasaan Bumiputera dalam sektor teknologi tinggi, kerajaan memperuntukkan RM105 juta tambahan kepada VentureTECH untuk meningkatkan pemilikan ekuiti dan memperluas pelaburan dalam industri berimpak tinggi.- DagangNews.com