KUALA LUMPUR 8 Ogos - Belanjawan 2026 akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober 2025 yang merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) berteraskan kepada tiga tonggak ekonomi MADANI iaitu memacu pembaharuan dan tatakelola baik, menaikkan siling serta menaikkan lantai dan taraf hidup rakyat.
Kementerian Kewangan berkata, tumpuan Belanjawan 2026 terarah kepada penyampaian agenda ekonomi Malaysia jangka panjang selain menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan momentum pertumbuhan dan melindungi daya tahan ekonomi. Pada masa sama, usaha akan diambil bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi bantuan lebih bersasar berteraskan keberhasilan ke arah menambah baik kualiti hidup.
Katanya, Belanjawan 2026 akan terus memacu pendekatan berasaskan akar umbi dan berorientasikan rakyat, yang meletakkan keperluan komuniti sebagai nadi dasar awam. Program seperti Sejati MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memperkasa komuniti setempat melalui
pengagihan sumber berdasarkan keutamaan di peringkat lapangan.
"Dalam merangka Belanjawan 2026, kerajaan akan terus menggunakan pendekatan ini dengan mendapatkan maklum balas secara aktif daripada rakyat, perniagaan dan pihak berkepentingan bagi memastikan dasar nasional adalah selari dengan realiti semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

MEMACU PEMBAHARUAN & TATAKELOLA BAIK
Kementerian itu berkata, aspirasi Belanjawan 2026 akan memacu reformasi sektor awam dalam memperkukuh tadbir urus, mempertingkat penyampaian perkhidmatan dan menjamin kemampanan fiskal.
Antara usaha yang dilaksanakan termasuk memperkukuh integriti dan tadbir urus fiskal, memodenkan kewangan awam melalui teknologi, mempertingkatkan GovTech dan perkhidmatan rakyat, reformasi perkhidmatan awam untuk kerajaan masa hadapan.
Kerajaan sedang rancak mendigitalkan sektor awam bagi mengoptimum kutipan hasil, mengurangkan ketirisan dan memperbaik penyampaian program.
Ini termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan, analitik data raya dan automasi untuk mengesan ketidakpatuhan cukai yang kini diguna pakai oleh agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menggunakan AI untuk penguatkuasaan yang lebih cekap.
MENAIKKAN SILING
Menaikkan Siling merupakan salah satu daripada tiga tonggak utama Ekonomi MADANI yang bertujuan melonjakkan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya saing dan mampan berteraskan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial.
Tonggak itu menumpukan usaha memecahkan kekangan struktur yang lama berakar — khususnya kebergantungan kepada model ekonomi kos rendah dan sederhana.
"Dengan Ekonomi MADANI menetapkan aspirasi untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 12 ekonomi paling berdaya saing di dunia, transformasi asas perindustrian
adalah penting.
"Ia antara lain akan menjadi penggerak strategik untuk transformasi industri Malaysia, penyesuaian insentif bagi meningkatkan daya penarik pelaburan dan menjana kesan berganda merentasi rantaian ekonomi," katanya.
MENAIKKAN LANTAI DAN TARAF HIDUP RAKYAT
Ketika bergerak ke arah ekonomi lebih kompleks dan berdaya saing, Belanjawan 2026 membina kesinambungan usaha terdahulu untuk mengangkat asas kehidupan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi memberi kesan langsung kepada kualiti hidup rakyat yang lebih baik.
Tonggak “Menaikkan Lantai” berkait rapat dengan agenda transformasi yang lebih luas di bawah “Menaikkan Siling.” Pembangunan negara tidak akan berjaya tanpa memelihara aset negara paling berharga: modal insan.
"Antara usaha yang akan dilakukan termasuk reformasi pasaran buruh, memperkasa mekanisme bantuan sosioekonomi untuk kehidupan bermaruah ke arah sistem penjagaan kesihatan yang saksama dan mampan, reformasi sektor pendidikan untuk menjana ekonomi inklusif, merapatkan jurang bandar – luar bandar dan memperkasa semua golongan untuk menyertai ekonomi yang berkembang," katanya.- DagangNews.com








