Belanjawan 2026: Airbnb kemuka 4 cadangan perkasa komuniti dan sektor pelancongan Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2026: Airbnb kemuka 4 cadangan perkasa komuniti dan sektor pelancongan Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt – Menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini, Airbnb tampil dengan empat cadangan dasar utama kepada kerajaan untuk memperkukuh pertumbuhan sektor pelancongan di Malaysia.

 

Pengarah Dasar Awam Airbnb Asia Pasifik, Mich Goh berkata, antara cadangan tersebut ialah mengiktiraf potensi perkongsian rumah bagi memperkasakan komuniti khususnya bagi wanita, belia dan usahawan mikro.

 

Katanya, dalam konteks ini, Airbnb mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan program bersasar bagi membantu rakyat Malaysia memanfaatkan platform digital, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan mengukuhkan pemilikan rumah selaras dengan dasar perumahan negara.

 

“Kedua,  Airbnb berharap kerajaan menyalurkan peruntukan dana mencukupi bagi pemasaran destinasi, naik taraf infrastruktur digital dan pembangunan pelancongan komuniti tempatan. 

 

“Langkah ini diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, memanjangkan tempoh penginapan serta mempromosikan budaya dan alam semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, kerajaan juga perlu membuat kajian semula Akta Industri Pelancongan 1992 secara adil dan praktikal. 

 

“Pemodenan kerangka peraturan itu amat penting bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan negara di peringkat global.

 

“Airbnb berpendapat pendekatan yang lebih adil dan praktikal dalam kajian semula TIA akan memperkukuh perlindungan pengguna, menggalakkan inovasi serta memastikan industri kekal progresif dalam menghadapi perubahan landskap pelancongan antarabangsa,” katanya.

 

t
Pengarah Dasar Awam Airbnb Asia Pasifik, Mich Goh

 

Cadangan seterusnya supaya kerajaan memperkenalkan Garis Panduan Penginapan Sewaan Jangka Pendek (STRA) Nasional yang lebih progresif dan inklusif.

 

Beliau berkata, Airbnb menggesa agar garis panduan yang diperkenalkan bersifat adil, progresif dan tidak terlalu membataskan hos serta pihak berkuasa tempatan. 

 

“Ia perlu jelas kepada semua pihak agar dapat membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat Malaysia. 

 

“Sebagai kerangka nasional pertama seumpamanya di Asia Tenggara, pelaksanaan yang tepat pada masanya akan menyerlahkan kepimpinan Malaysia dalam memacu inovasi serta memperkukuh ekonomi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

 

Mengikut Laporan Oxford Economics 2025, perbelanjaan berkaitan platform Airbnb sahaja menyumbang RM9.2 bilion kepada KDNK Malaysia pada 2024, bersamaan kira-kira 5% daripada sumbangan sektor pelancongan kepada KDNK negara.

 

Laporan sama turut mendedahkan bahawa Airbnb menyokong sebanyak 93,600 pekerjaan tempatan merentasi pelbagai aktiviti perniagaan, sekali gus membuktikan sumbangan besar ekonomi perkongsian kepada pertumbuhan negara.

 

Tambahnya, Airbnb sentiasa terbuka untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, penggiat industri dan komuniti hos bagi membina ekosistem pelancongan yang mampan, inklusif dan berdaya saing.

 

“Dengan kerjasama strategik, kami optimis Malaysia mampu mencapai aspirasi menjadi hab pelancongan utama serantau menjelang 2030,” katanya. - DagangNews.com