KUALA LUMPUR 16 Jun - GWM Malaysia melantik Roslan Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharunya sebagai langkah strategik untuk memperkukuh pertumbuhan jenama itu di pasaran tempatan.
Pelantikan beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, dijangka membawa perubahan besar dalam hala tuju operasi dan strategi GWM di Malaysia.
Roslan berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri automotif negara dan pernah memegang jawatan penting berkaitan pembangunan jenama, pengembangan pasaran serta membina kepercayaan pelanggan.
Pelantikan tersebut dibuat ketika GWM Malaysia sedang giat menyokong usaha negara ke arah pengangkutan yang lebih pintar, hijau dan mesra alam.
Roslan berkata, beliau akan memastikan GWM terus menyokong matlamat kerajaan di bawah Dasar Automotif Negara (NAP) dalam menjayakan perubahan sektor pengangkutan negara.
"Saya mahu GWM menjadi rakan pengangkutan jangka panjang yang dipercayai, dengan rangkaian pengedar dan servis yang kukuh, produk yang sesuai untuk semua rakyat Malaysia, serta pengalaman pemilikan yang mudah dan lancar," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi berkata, pengalaman dan kepimpinan Roslan akan membantu mengukuhkan operasi syarikat sebagai pemain jangka panjang dalam industri automotif tempatan.
Beliau turut menyifatkan pelantikan tersebut sebagai langkah penting bagi GWM dalam usaha menuju pengangkutan baharu, dengan tumpuan kepada kenderaan mesra alam, pasaran yang lebih luas dan inovasi berterusan. - DagangNews.com








