KUALA LUMPUR 22 Julai - Pestec International Bhd disaman bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Paul Lim Pay Chuan, dan bapa saudaranya yang juga bekas Timbalan Pengerusi, Lim Ah Hock, dengan tuntutan berjumlah RM17.52 juta berkaitan pembayaran tertunggak.
Tindakan saman itu menyusul selepas kedua-duanya dinafikan jawatan mereka oleh syarikat pada Jumaat lalu, susulan pengambilalihan kawalan ke atas syarikat kejuruteraan itu oleh Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) pada penghujung tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pestec memaklumkan, syarikat telah menerima writ saman dan penyataan tuntutan bertarikh 3 Julai daripada kedua-dua individu tersebut.
Menurut Pestec, Ah Hock menuntut sebanyak RM11.29 juta, yang merangkumi RM10.25 juta sebagai prinsipal tertunggak serta faedah terakru ke atas jumlah tersebut bermula 1 April 2025.
Sementara itu, Pay Chuan menuntut sebanyak RM6.23 juta, terdiri daripada RM6 juta prinsipal dan faedah tambahan pada kadar 8.4% setahun ke atas jumlah tertunggak bermula 1 April sehingga bayaran penuh diselesaikan.
ARTIKEL BERKAITAN: Enggan kembali bekerja, Pestec ambil keputusan singkir CEO daripada jawatannya
Pestec memaklumkan, syarikat telah melantik peguam untuk mempertahankan tuntutan tersebut. Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan pengurusan kes secara e-semakan pada 4 Ogos ini.
Tindakan saman itu berlaku ketika perebutan kepimpinan yang sedang berlangsung di Pestec.
Pada Jumaat lalu, syarikat telah menyingkirkan Pay Chuan daripada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan menetapkan semula jawatan beliau sebagai Pengarah Bukan Eksekutif, dengan alasan beliau enggan kembali bekerja walaupun telah dilakukan usaha pendamaian oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor.
Secara berasingan, Ah Hock turut ditetapkan semula jawatan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif, namun tiada penjelasan diberikan oleh syarikat.
Pay Chuan, yang memegang jawatan CEO sejak Oktober 2020, telah mendakwa berlaku pemecatan konstruktif dan sebelum ini telah memfailkan satu representasi di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, yang lazimnya merujuk kepada pemecatan secara tidak adil.
Pemecatan konstruktif merujuk kepada keadaan di mana majikan mewujudkan persekitaran kerja yang tidak dapat diterima sehingga mendorong pekerja untuk berhenti.
Pestec menafikan dakwaan tersebut dan telah meminta Pay Chuan kembali bekerja.
Terdahulu, pada bulan Jun, Pay Chuan tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam Pestec selepas pegangan sahamnya dicairkan susulan pelaksanaan penempatan terhad kepada DMIA, yang kini memiliki 61.39% kepentingan dalam syarikat. - DagangNews.com








