KUALA LUMPUR 29 Dis – PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) melantik Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Dalam satu kenyataan, PNBMV berkata pelantikan itu dibuat pada detik penting ketika presint Merdeka 118 terus dibangunkan sebagai hab bersepadu bertaraf global merangkumi perdagangan, budaya, warisan dan komuniti di Kuala Lumpur.
Izwan memiliki lebih 25 tahun pengalaman kepimpinan merentasi beberapa syarikat terkemuka negara termasuk PETRONAS, Kumpulan Syarikat KLCC dan Putrajaya Holdings, dengan rekod kukuh dalam pembangunan hartanah, pengurusan aset, minyak dan gas serta teknologi.
Sepanjang kerjayanya, beliau terlibat dalam pengurusan aset nasional ikonik, perancangan induk bandar dan presint berskala besar, selain memacu transformasi digital dan operasi organisasi.
Sebelum menyertai PNBMV, Izwan berkhidmat sebagai CEO Putrajaya Holdings, bertanggungjawab ke atas perniagaan kediaman, komersial, runcit, hospitaliti dan utiliti selain membentuk Putrajaya sebagai pusat pentadbiran persekutuan yang moden dan mampan.
Beliau sebelum itu merupakan pengarah eksekutif KLCC Urusharta, mengurus mercu tanda antarabangsa termasuk Menara Berkembar PETRONAS serta keseluruhan Presint KLCC, dengan tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai aset jangka panjang.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, Izwan membawa pengalaman mendalam dalam mengurus pembangunan bernilai tinggi yang ditanda aras di peringkat antarabangsa.
“Izwan membawa pengalaman luas dalam mengurus pembangunan bertaraf global, termasuk kepimpinannya terhadap salah satu presint paling ikonik di Malaysia. Kepimpinannya selari dengan visi jangka panjang presint Merdeka 118. Lembaga yakin di bawah bimbingan beliau, PNBMV akan terus memajukan presint mercu tanda ini sebagai pemangkin kepada aspirasi pembangunan bandar Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








