KUALA LUMPUR 12 Ogos - Seorang bekas akauntan syarikat pendidikan awal kanak-kanak, Little Caliphs International Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas enam pertuduhan pengubahan wang haram melebihi RM200,000 untuk pembayaran zakat.
Tertuduh, Rafidah Basar, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Rafidah didakwa menerima dan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM216,478 selepas memperdayakan seorang individu berusia 36 tahun yang bekerja di syarikat tersebut untuk mempercayai kesemua wang tersebut adalah untuk pembayaran zakat untuk Little Caliphs.
Kesemua transaksi itu melibatkan daripada akaun milik empat individu kepada akaun milik tertuduh di dua cawangan bank di sekitar daerah ini antara 30 Ogos 2023 hingga 4 Mac tahun lalu, lapor Kosmo.
Justeru, dia melakukan kesalahan dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika sabit kesalahan, Rafidah boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya V. Manjira semasa prosiding itu mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Peguam Iqmal Jamal dalam mitigasinya merayu agar jaminan serendah RM10,000 bagi keseluruhan pertuduhan dihadapi anak guamnya.
“Ini kerana anak guam saya kini hanya berpendapatan antara RM1,000 ke RM2,000 hasil membantu ibunya menjual kuih.
“Tertuduh juga menjaga kakaknya yang Orang Kurang Upaya (OKU) dan serta ibunya,” katanya
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin selain tertuduh tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Oktober 2025.- DagangNews.com








