Bekalan gas di Putra Heights dijangka pulih selewat-lewatnya 1 Julai 2025 - Petronas Gas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekalan gas di Putra Heights dijangka pulih selewat-lewatnya 1 Julai 2025 - Petronas Gas

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 April - Kerja-kerja pemulihan bekalan gas di kawasan Putra Heights dijangka hanya dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada 1 Julai 2025, selepas insiden kebakaran besar yang berlaku dua minggu lalu akibat kebocoran saluran paip gas utama.

 

Petronas Gas Berhad berkata, jangka masa pemulihan itu bergantung kepada siasatan yang sedang dijalankan, kelulusan pihak berkuasa dan kemajuan kerja di tapak kejadian.

 

"Kami sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, pengedar dan penghantar gas, bagi memastikan bekalan gas dapat dipulihkan semula di kawasan terjejas.

 

"Antara usaha yang dilakukan termasuk meningkatkan kapasiti bekalan gas dari arah utara ke beberapa kawasan lain di Lembah Klang seperti Bestari Jaya, Meru dan Kapar, melalui saluran alternatif iaitu sistem paip gas Trans Thailand-Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Stesen City Gate di Serdang telah kembali beroperasi, sekali gus membantu menstabilkan bekalan gas di kawasan Lembah Klang.

 

Kebakaran pada 1 April lalu yang melibatkan saluran paip utama milik Petronas Gas telah memberi kesan kepada 1,254 penduduk daripada 308 keluarga. 

 

Sebanyak 87 rumah musnah sepenuhnya, manakala 148 rumah lagi mengalami kerosakan.

 

Sebelum ini, MIDF Research menganggarkan kesan kewangan terhadap Petronas Gas mencecah antara RM18 juta hingga RM25 juta. 

 

Ia merangkumi kerugian hasil jualan (10%-15%) akibat gangguan bekalan, kos pembaikan (25%-30%), pampasan kepada orang awam (25%-35%) dan kos pengurusan reputasi syarikat.

 

Petronas Gas menegaskan komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan serta kerja-kerja pembaikan yang melibatkan penstabilan tanah, kawalan air dan penggalian paip.

 

"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan bekalan gas stabil dan kerja pemulihan dilakukan dengan selamat sambil menyokong proses siasatan," tambah kenyataan itu. - DagangNews.com