Bekalan air Kelantan dijangka stabil sepenuhnya menjelang 2030 dengan peruntukan RM1 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekalan air Kelantan dijangka stabil sepenuhnya menjelang 2030 dengan peruntukan RM1 bilion

LRA Bukit Cupak di Gua Musang - Gambar/Air Kelantan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Okt – Bekalan air di Kelantan dijangka stabil menjelang 2030 menerusi peruntukan sebanyak RM1 bilion merangkumi pelbagai projek infrastruktur air yang dilaksanakan secara berperingkat.

 

Antara projek utama yang sedang dan akan dilaksanakan ialah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Machang dan Tanjung Mas, Kota Bharu.

 

Apabila siap kelak, dua loji baharu itu dijangka menyumbang dengan kapasiti keseluruhan 120 juta liter air sehari. 

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastrukur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, turut dilaksanakan ialah projek penggantian paip uzur sepanjang 330 kilometer.

 

“Projek pembangunan sistem agihan serta pembinaan tangki air di seluruh negeri juga akan dibuat untuk membekalkan air bersih kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

Tambahnya, jalinan kerjasama antara Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB), Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta Kerajaan Negeri dijangka memperkukuh pengurusan sistem bekalan air yang lebih baik pada masa akan datang.

 

“Kerjasama ini penting khususnya dalam menangani isu tekanan rendah serta meningkatkan margin rizab air terawat bagi menampung pertambahan pengguna.

 

 

 

 

 

 

 

“Antara projek penting yang hampir siap ialah LRA Bukit Cupak di Gua Musang bernilai RM47.9 juta yang dijangka beroperasi tidak lama lagi untuk manfaat lebih 25,000 penduduk dengan kapasiti 10 juta liter air sehari.

 

“Usaha bersepadu ini mencerminkan kesungguhan ke arah sistem air yang lebih mampan, teratur dan mampu menyokong pembangunan sosioekonomi rakyat Kelantan secara berperingkat menjelang 2030,” katanya.- DagangNews.com