Batik Air perkenal penerbangan terus pertama Malaysia ke Dili, Timor-Leste | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Batik Air perkenal penerbangan terus pertama Malaysia ke Dili, Timor-Leste

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 16 APRIL – Melakar sejarah baharu dalam industri penerbangan negara apabila mengumumkan pelancaran penerbangan terus pertama dari Malaysia ke Dili, ibu negara Timor-Leste, sekali gus menjadi syarikat penerbangan komersial pertama negara yang menembusi pasaran itu.

 

Perkhidmatan itu akan bermula pada 6 Jun 2025 dengan kekerapan dua kali seminggu dan dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan diplomatik, ekonomi serta pelancongan antara Malaysia dan Timor-Leste.

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan baharu itu sejajar dengan strategi pengembangan syarikat penerbangan dalam memperluaskan capaian ke destinasi berpotensi tinggi di rantau ini.

 

"Penerbangan ini bakal memberi akses secara terus kepada destinasi yang selama ini kurang mendapat liputan syarikat penerbangan komersial, dengan tempoh perjalanan kira-kira empat jam 15 minit tanpa perlu transit.

 

"Ini membuka laluan kepada hubungan dua hala yang lebih kukuh, selain memperkukuh peranan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab serantau utama," katanya dalam satu kenyataan.

 

Batik Air

 

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan visi Batik Air untuk menghubungkan destinasi baharu yang sedang membangun, seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi, pendidikan, dan kerjasama budaya antara Malaysia dan Timor-Leste.

 

Katanya, laluan itu juga menawarkan peluang pelaburan dan perniagaan, di samping merangsang pertukaran budaya dan pelancongan ke destinasi eksotik yang masih belum diterokai secara meluas.

 

Melalui hab di Kuala Lumpur, para penumpang boleh meneruskan perjalanan dengan mudah ke lebih 60 destinasi di 20 negara termasuk bandar utama di ASEAN, China, Asia Utara, India, Asia Barat, dan Asia Tengah.

 

Perkhidmatan Kuala Lumpur–Dili itu akan beroperasi menggunakan pesawat Boeing 737 milik Batik Air dengan pelbagai pilihan tambang mengikut keperluan penumpang sama ada dari segi elaun bagasi, sajian dalam penerbangan, mahupun fleksibiliti perjalanan.- DagangNews.com