KUALA LUMPUR 21 April – Batik Air Malaysia bakal memperkukuh lagi kehadirannya di pasaran penerbangan antarabangsa apabila mengumumkan laluan terus dari Kuala Lumpur ke Melbourne sepanjang tahun, bermula 12 Julai 2025.
Langkah strategik itu akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dua hala antara Malaysia dan Australia, sekali gus memberi kelebihan kompetitif kepada syarikat penerbangan tersebut dalam pasaran serantau yang semakin rancak.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, keputusan menjadikan laluan tersebut sebagai perkhidmatan tetap berikutan pertumbuhan permintaan penumpang yang konsisten sejak pengenalan laluan secara bermusim pada 2022.
"Ini adalah satu pelaburan jangka panjang dalam mengukuhkan akses terus ke Australia, terutamanya ke Melbourne yang merupakan pusat budaya dan ekonomi penting.
"Kami komited untuk menyediakan perjalanan yang lebih selesa, efisien, dan fleksibel kepada penumpang," katanya dalam satu kenyataan.
Batik Air sebelum ini memulakan laluan tersebut menggunakan pesawat Boeing 737, dan kemudiannya menukar kepada Airbus A330 untuk menampung lonjakan permintaan semasa musim cuti.
Menurut data dalaman syarikat, kadar muatan meningkat daripada 50% pada 2022 kepada lebih 65% pada suku pertama 2025, mencerminkan momentum pasaran positif.
Perkhidmatan baharu itu akan beroperasi empat kali seminggu, dan dijangka menyumbang kepada peningkatan hasil serta skala operasi Batik Air di rantau Asia-Pasifik.
Lapangan Terbang Melbourne mencatat lebih 2.7 juta penumpang pada Februari 2025, termasuk 930,356 pelancong antarabangsa menjadikannya antara hab paling sibuk di Australia.
Melbourne bukan sahaja menjadi destinasi utama untuk pelancong Malaysia, tetapi juga berperanan sebagai pintu masuk strategik bagi sambungan ke seluruh Australia.
Peluasan laluan itu akan memanfaatkan pelancong perniagaan dan percutian, serta memperkukuh ekosistem pelancongan dua hala.
Pesawat Airbus A330 Batik Air yang digunakan menawarkan 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 365 tempat duduk kelas ekonomi, dilengkapi dengan pelbagai pilihan tambang berjenama yang fleksibel bagi memenuhi keperluan penumpang.
Batik Air kini bukan sahaja bersaing secara langsung dengan syarikat penerbangan premium, malah menawarkan nilai tambah menerusi penerbangan harian alternatif melalui Denpasar, Bali yang turut dikendalikan oleh pesawat B737 sebanyak tujuh kali seminggu.- DagangNews.com








