Batik Air mula penerbangan antarabangsa pertama dari Subang ke Bangkok 28 Julai ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Batik Air mula penerbangan antarabangsa pertama dari Subang ke Bangkok 28 Julai ini

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 26 Mei – Batik Air akan memulakan penerbangan antarabangsa pertama dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), Subang ke Bangkok, Thailand pada 28 Julai 2025.

 

Syarikat itu turut melancarkan penerbangan harian ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH), Sarawak sebagai usaha memperkukuh rangkaian domestik dari SZB.

 

Laluan SZB–Don Mueang (DMK) akan beroperasi tujuh kali seminggu, manakala laluan SZB–KCH dijangka mengukuhkan Subang sebagai pintu masuk utama ke Malaysia Timur.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pelancaran itu menandakan permulaan era baharu dalam industri penerbangan negara dengan memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang di Lembah Klang.

 

"Kami berbangga menjadi peneraju dalam transformasi Subang sebagai hab bandar moden dan Bangkok hanyalah permulaan.

 

batik air

 

"Subang menawarkan pilihan pintar dan menjimatkan masa berbanding KLIA dan kami yakin peranannya dalam masa depan industri penerbangan Malaysia akan terus berkembang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kedudukan strategik SZB yang berhampiran pusat bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam, dan Kuala Lumpur dijangka menarik lebih ramai penumpang yang mengutamakan kemudahan dan keselesaan.

 

Batik Air turut mengendalikan laluan ke Pulau Pinang, Kota Bharu, dan Kota Kinabalu dari SZB, menjadikan keseluruhan lima destinasi utama yang disambungkan dari lapangan terbang itu.

 

Batik Air

 

Dengan pertambahan laluan baharu itu, SZB dilihat berpotensi memainkan peranan sebagai alternatif kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus menyokong keperluan lebih sembilan juta penduduk Lembah Klang.

 

Langkah itu juga membuka peluang kepada lebih ramai pelancong dari Thailand dan Malaysia Timur untuk meneroka keunikan Kuala Lumpur dan Selangor yang kaya dengan warisan diraja, pelancongan eko, taman tema, pusat beli-belah, dan kepelbagaian gastronomi.- DagangNews.com