KUALA LUMPUR 29 Julai – Batik Air terus memperluaskan operasinya dalam ekosistem penerbangan serantau dengan melancarkan penerbangan antarabangsa sulung dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Bangkok, Thailand.
Pelancaran laluan ini bukan sahaja sebagai tambahan destinasi baharu dalam rangkaian syarikat penerbangan itu, malah bukti komitmennya untuk membangunkan Subang sebagai hab penerbangan strategik dan mudah diakses bagi Lembah Klang dan kawasan sekitarnya.
Majlis ringkas menyambut ketibaan penerbangan sulung itu telah diadakan di Subang sebagai simbolik pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand dalam sektor pelancongan dan perniagaan.
Serentak dengan pembukaan laluan ke Bangkok, Batik Air turut memulakan penerbangan terus dari Subang ke Kuching, menjadikannya laluan kedua syarikat itu ke Malaysia Timur selepas Kota Kinabalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan baharu ini memberi lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada penumpang.
“Dengan laluan baharu ini, kami bukan sahaja mengukuhkan kehadiran di Subang, malah membawa penumpang lebih dekat ke destinasi pilihan mereka, sama ada meneroka Bangkok atau menikmati keunikan budaya di Kuching,” katanya dalam kenyataan.
Dengan dua laluan baharu ini, Batik Air kini mengendalikan lima destinasi terus dari Subang termasuk Pulau Pinang, Kota Bharu dan Kota Kinabalu.


Dalam pada itu, Tourism Malaysia juga menyambut baik penambahan laluan penerbangan Batik Air, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, Thailand merupakan antara pasaran pelancong utama Malaysia dan peningkatan sambungan penerbangan akan menyumbang kepada peningkatan pelancong dari negara itu.
“Laluan baharu ini hadir tepat pada masanya untuk menyokong sasaran pelancongan negara,” katanya.
Tourism Selangor turut menyokong usaha tersebut, dengan menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong dari Thailand sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
Kawasan sekitar Lapangan Terbang Subang dijangka mendapat limpahan manfaat langsung daripada inisiatif ini.
Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah terletak hanya 20 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur dan berhampiran kawasan utama seperti Petaling Jaya dan Shah Alam, menjadikannya alternatif mesra pengguna kepada KLIA.- DagangNews.com








