KUALA LUMPUR 4 Ogos – Batik Air kini bekerjasama dengan ESSAD, sebuah program keistimewaan eksklusif berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebagai usaha menarik kedatangan pelancong dari Timur Tengah untuk memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
ESSAD adalah satu program kerajaan UAE yang menawarkan diskaun dan ganjaran kepada lebih 250,000 ahli termasuk penjawat awam, kakitangan sektor swasta dan keluarga mereka.
Batik Air dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan menyediakan promosi tambang khas dan pelbagai kelebihan perjalanan eksklusif kepada pemegang kad ESSAD yang ingin melancong ke Malaysia.
“Usaha ini sejajar dengan matlamat kerajaan Malaysia untuk meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa sekaligus merancakkan semula industri pelancongan negara.
“Melalui kerjasama ini, Malaysia dijangka mendapat liputan lebih luas dalam pasaran Timur Tengah selain memudahkan sambungan ke destinasi domestik utama seperti Langkawi, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching.
“Langkah ini bukan sahaja menggalakkan tempoh penginapan yang lebih lama, malah turut menyumbang kepada limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan,” katanya.
Ketika ini, Batik Air mengendalikan penerbangan harian terus dari Dubai ke Kuala Lumpur yang membuka laluan lebih luas kepada kemasukan pelancong Timur Tengah ke Malaysia.
“Ia adalah pasaran berpotensi tinggi kerana ramai yang tertarik dengan pengalaman pelancongan menarik di Malaysia, termasuk hospitaliti mesra keluarga, keunikan budaya Islam dan kemudahan halal yang menyeluruh.
“Batik Air sangat komited untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, pemain industri dan rakan antarabangsa bagi merealisasikan aspirasi TMM2026 serta meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini,” katanya.- DagangNews.com








