Bank Pembangunan Malaysia, Hartasuma meterai perjanjian RM367.2 juta projek kereta kabel Bukit Bendera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Pembangunan Malaysia, Hartasuma meterai perjanjian RM367.2 juta projek kereta kabel Bukit Bendera

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Hartasuma Ropeways Sdn Bhd memeterai perjanjian pembiayaan bernilai RM367.2 juta bagi merealisasikan projek transformasi kereta kabe Bukit Bendera, Pulau Pinang.

 

Kerjasama itu menandakan pelancaran inisiatif infrastruktur utama yang bertujuan meningkatkan akses ke Bukit Bendera, memperluas hubungan ke Rizab Biosfera Bukit Bendera, menambah baik pengalaman pengunjung, serta menyokong pertumbuhan pelancongan jangka panjang negeri itu.

 

Sebagai pemegang konsesi jangka panjang bagi pembangunan projek kereta kabel Bukit Bendera, Hartasuma Ropeways yang merupakan sebuah kenderaan tujuan khas (SPV) Hasrtasuma Sdn Bhd akan bertanggungjawab untuk membangunkan, membiayai, mengendalikan dan menyelenggara keseluruhan sistem.

 

Kereta kabel itu akan berfungsi sebagai mod pengangkutan alternatif kepada landasan kereta api funikular sedia ada, sekali gus membantu menampung peningkatan mendadak jumlah pelawat ke Bukit Bendera.

 

Direka untuk membawa sehingga 1,400 penumpang sejam bagi setiap arah, sistem ini akan menyediakan perjalanan selama 10 minit dari Taman Botani Pulau Pinang ke puncak — menawarkan pilihan yang lebih cekap, menarik dan mudah diakses, terutamanya semasa waktu puncak dan ketika penyelenggaraan landasan funikular.

 

hartasuma

 

Pengarah Urusan Kumpulan Korporat dan Perbankan Pelaburan BPMB, Mohamed Nazri Omar berkata, sebagai institusi kewangan pembangunan, BPMB komited dalam menyediakan modal impak yang memacu pembangunan negara dan memperkasa ekonomi tempatan.

 

“Kemudahan pembiayaan sebanyak RM367.2 juta ini mencerminkan fokus kami dalam menyokong infrastruktur pelancongan mampan yang mampu menjana manfaat sosial dan ekonomi jangka panjang.

 

“Dengan merealisasikan projek kereta kabel Bukit Bendera ini, kami membantu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan mewujudkan peluang bermakna untuk komuniti,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon berkata, mereka sedang membina lebih daripada sekadar kereta kabel.

 

“Kami sedang membina sebuah kenangan bersama – yang akan diceritakan semula dalam kisah-kisah, diabadikan dalam gambar-gambar dan disimpan dalam hati mereka yang pernah menjejakkan kaki ke sini.

 

“Itulah legasi yang kami bangga untuk realisasikan. Mendapatkan kemudahan pembiayaan ini adalah detik penting – bukan sahaja untuk Hartasuma, tetapi juga untuk Bukit Bendera dan semua pihak berkepentingan yang percaya kepada potensinya.

 

“Ia mencerminkan keyakinan terhadap visi projek ini, nilai jangka panjangnya dan kemampuan Hartasuma Ropeways untuk melaksanakannya dengan disiplin dan tujuan,” katanya.- DagangNews.com