KUALA LUMPUR 9 April – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Negara Kemboja (NBC) melancarkan Fasa 2 pembayaran rentas sempadan melalui kod QR, membolehkan rakyat Malaysia membuat pembayaran tanpa tunai di Kemboja dengan mengimbas KHQR.
KHQR ialah kod QR rasmi yang digunakan di Kemboja.
Fasa itu selari dengan pelaksanaan pertama pada September 2024 apabila warga Kemboja mula membayar di Malaysia menggunakan aplikasi Bakong dan DuitNow QR.
Pelancaran itu disempurnakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan ASEAN di ibu negara dan menandakan integrasi penuh sistem QR kedua-dua negara, merangkumi lebih tujuh juta peniaga serta menyokong transaksi masa nyata.
Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, peluasan sistem itu selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan menjadi antara usaha untuk memperkukuh keterhubungan kewangan serantau.
"Ini komitmen kami ke arah jaringan pembayaran serantau yang lebih lancar. Ia akan memberi manfaat besar kepada perniagaan kecil dan individu, serta mempercepat integrasi kewangan ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Chea Serey pula menyifatkan langkah ini sebagai pencapaian penting dalam usaha membina komuniti digital ASEAN yang saling terhubung dan mesra pengguna.
"Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urus niaga rentas sempadan, malah memperluas peluang dalam pelancongan, ekonomi digital dan keterangkuman kewangan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut BNM, ASEAN mencatatkan lebih 5.2 juta transaksi pembayaran rentas sempadan menggunakan QR pada 2024 meningkat empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Malaysia kini berusaha memperluas hubungan QR dengan lebih banyak negara ASEAN menjelang 2025 termasuk menerusi kerjasama dengan institusi seperti Payments Network Malaysia (PayNet), Malayan Banking Berhad (Maybank) dan rakan kewangan lain dari kedua-dua negara.- DagangNews.com








