KUALA LUMPUR 10 April - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) membentuk kerjasama untuk memperkukuh keselamatan siber dan perlindungan terhadap penipuan digital dalam sektor kewangan kedua-dua negara.
Kerjasama tersebut juga bertujuan mempererat hubungan antara kedua-dua bank pusat, membolehkan pertukaran maklumat yang lebih berkesan, pembinaan kapasiti dan perkongsian amalan terbaik.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan daya tahan institusi kewangan Malaysia dan memperkuat perlindungan terhadap pengguna kewangan negara daripada ancaman siber yang semakin canggih.
"Kerjasama dengan BoT akan memperdalam lagi usaha kami dalam keselamatan siber dan memerangi penipuan digital," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama itu dimeterai dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Gabenor BoT, Dr Sethaput Suthiwartnarueput, di sini hari ini.
Sethaput dalam pada itu berkata, MoU tersebut mencerminkan komitmen BOT untuk bekerjasama dengan BNM bagi memperkukuh keselamatan siber dan memerangi penipuan digital.
"Kerjasama erat dan perkongsian pengetahuan adalah sangat penting untuk menangani ancaman siber.
"Melalui usaha sama ini, matlamat kami adalah untuk meningkatkan lagi daya tahan dan keselamatan sistem kewangan demi manfaat pengguna di kedua-dua negara," ujarnya. - DagangNews.com








