KUALA LUMPUR 22 Mei – Bank Islam Malaysia Bhd dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan PLUS Malaysia Bhd (PLUS) melancarkan kempen "Balik Kampung dengan Kad Debit-i Bank Islam di R&R PLUS" bagi mempertingkatkan perbelanjaan tanpa tunai menjelang sambutan Aidiladha.
Kempen yang berlangsung dari 28 Mac hingga 30 Jun 2025 itu menawarkan pulangan tunai 10% kepada pemegang Kad Debit-i Bank Islam (MyDebit) yang berbelanja minimum RM15 di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS terpilih.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan, Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, kerjasama itu menyokong transaksi tanpa tunai yang selamat dan lancar di kawasan tumpuan orang ramai seperti R&R.
"Dengan mengutamakan pembayaran digital dalam rutin harian, kami bukan sahaja meningkatkan kemudahan pelanggan, tetapi turut menyokong usaha negara ke arah ekonomi digital yang lebih inklusif," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor berkata, kolaborasi berkenaan membuka akses lebih luas kepada transaksi tanpa tunai, terutama ketika musim perayaan.
"Dengan memanfaatkan lokasi strategik seperti R&R, lebih ramai rakyat Malaysia dapat merasai kemudahan dan keselamatan transaksi digital. Ia juga selari dengan aspirasi PayNet untuk memacu penggunaan pembayaran tanpa tunai di seluruh negara,” katanya.
Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran berkata, inisiatif itu menyumbang kepada ekosistem lebuh raya pintar yang mementingkan pengalaman perjalanan yang lancar dan selamat.
"Ketika ini, 84.8% atau lebih 535 gerai di R&R menerima e-dompet utama serta kad kredit dan debit.
"Bermula suku ketiga dan keempat tahun ini, sistem tanpa tunai sepenuhnya akan dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk R&R Tapah (arah utara dan selatan), Seremban (arah selatan), Rawang (arah utara), dan Restoran Jejantas Sungai Buloh," katanya.
Setiap pemegang kad layak menerima pulangan tunai sehingga RM15, yang akan dikreditkan selepas tempoh kempen berdasarkan prinsip 'siapa cepat dia dapat'.
Kempen itu dilancar bersempena cuti sekolah dan musim Aidiladha yang dijangka meningkatkan aliran trafik, sekali gus mengukuh penggunaan pembayaran digital di lebuh raya.- DagangNews.com








