KUALA LUMPUR 27 Ogos — Bank Islam Malaysia Berhad melantik tokoh perbankan berpengalaman lebih 30 tahun, Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah, sebagai Pengerusi Bebas dan Bukan Eksekutif.
Pelantikan beliau berkuat kuasa 27 Ogos 2026 dengan mengambil alih jawatan daripada Tan Sri Ismail Bakar yang bersara pada 22 Ogos lalu selepas enam tahun menerajui lembaga pengarah bank tersebut.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, Wan Mohd Fadzmi membawa pengalaman luas dalam industri perbankan domestik dan antarabangsa serta pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan.
"Beliau sebelum ini pernah berkhidmat dengan Malayan Banking Berhad dan RHB Bank Berhad, selain pernah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Berhad," jelas Bank Islam.
Pengalaman luas dalam sektor kewangan itu dijangka memperkukuh kepimpinan dan hala tuju strategik bank itu ketika industri perbankan terus berdepan persaingan dan perubahan landskap ekonomi semasa.
Wan Mohd Fadzmi kini turut menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat termasuk Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Malaysian Rating Corporation Berhad dan Hap Seng Consolidated Berhad.
Di samping itu ujar Bank Islam, beliau juga mempunyai pengalaman yang luas sebagai Pengerusi Labuan Financial Services Authority dan Sumitomo Mitsui Banking Corp Malaysia Berhad.
Selain itu jelas kenyataan bank tersebut, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad.
Pelantikan tokoh berpengalaman dalam industri perbankan itu dibuat ketika Bank Islam terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan dan pengukuhan kedudukannya dalam sektor kewangan Islam.
Saham Bank Islam ditutup 2 sen atau 0.95% lebih tinggi iaitu RM2.13 pada 26 Ogos 2026, sekali gus memberikan kumpulan berkenaan dengan nilai pasaran sebanyak RM4.83 bilion. - DagangNews.com








