Bank digital tempatan dianggar terus catat kerugian, perlu 6 tahun capai tahap pulang modal - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank digital tempatan dianggar terus catat kerugian, perlu 6 tahun capai tahap pulang modal - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Sept - Bank digital tempatan dianggar terus mencatat kerugian dan hanya mampu mencapai tahap pulang modal dalam tempoh lima hingga enam tahun sama seperti yang dialami rakan setara di peringkat global, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Katanya, walaupun lima bank sudah memasuki pasaran dengan tawaran promosi agresif, keuntungan dijangka mengambil masa kerana institusi ini masih membina skala operasi.


 
"Walaupun berjaya menarik deposit melalui pulangan simpanan yang menarik pada peringkat awal, kami berpandangan cabaran utama adalah mengekalkan asas deposit tersebut," katanya dalam satu nota kajian.

 

 

 

 

 

 

 

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah deposit belum jelas mencatat penurunan antara 5% hingga 17% dari Disember 2024 hingga Jun 2025.

 

Daripada lima pemain tempatan, tiga daripadanya telah beroperasi lebih setahun, manakala KAF Digital Bank dan Ryt Bank baru sahaja memulakan operasi bulan lalu.

 

Secara kolektif, bank digital masih menyumbang kurang daripada 0.1% daripada jumlah pinjaman dan deposit sistem perbankan.

 

Maybank IB berkata, tawaran semasa bank digital masih terhad, dengan fokus utama kepada pengumpulan deposit, dan semua lima bank hanya mengeluarkan kad debit.

 

Pembiayaan setakat ini tertumpu pada pinjaman peribadi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan Boost Bank kini menawarkan pinjaman motosikal.

 

“Boost Bank dan GX Bank menyediakan pinjaman PKS dalam bentuk pinjaman bertempoh dan kemudahan kredit pusingan,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Bagi masa depan, potensi produk baharu termasuk perkhidmatan kiriman wang pelbagai mata wang, alatan perbankan digital PKS, platform pembiayaan, khidmat nasihat kekayaan dan pelaburan, serta pelan insurans.

 

Maybank IB mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor perbankan keseluruhan, sambil mengekalkan saranan “beli” ke atas Hong Leong Bank Berhad, AMMB Holdings Berhad, Public Bank Berhad dan Hong Leong Financial Group Berhad. - DagangNews.com