KUALA LUMPUR 4 Dis – Vantage Data Centers telah menyiapkan empat bangunan di kawasan seluas enam ekar di Cyberjaya, dengan blok bangunan terakhir berkapasiti 16-megawatt (MW) kini beroperasi.
Projek ini adalah sebahagian daripada tiga kompleks pusat data syarikat itu di Malaysia.
Vantage, pembangun pusat data berskala besar kini mempunyai 41 kampus di seluruh dunia dengan kapasiti IT 8.7 gigawatt (GW), termasuk 1GW di Asia Pasifik.
Syarikat itu berkata, pusat data baharu di Cyberjaya itu telah disewakan sepenuhnya kepada satu pelanggan.
Kompleks pusat data pertama di Cyberjaya itu menyediakan kapasiti IT kritikal sebanyak 31MW, iaitu tenaga yang digunakan hanya untuk peralatan IT penting.
Presiden Vantage Data Centers Asia Pasifik, Jeremy Deutsch berkata, Malaysia kini muncul sebagai hab pusat data yang berkembang paling pesat di Asia Tenggara.
“Syarikat sedang membina kompleks pusat data kedua di Cyberjaya yang dijangka menyediakan kapasiti keseluruhan melebihi 400MW.
“Selain itu, Vantage juga memiliki kompleks berskala besar di Johor Bahru yang mempunyai tiga pusat data di atas tanah seluas 73 ekar dengan kapasiti IT kritikal sebanyak 300MW,” katanya.
Pengembangan ini menunjukkan keyakinan syarikat antarabangsa terhadap potensi pasaran pusat data di Malaysia serta menyokong usaha pendigitalan negara dan pertumbuhan ekonomi. - DagangNews.com








