Banci Ekonomi 2026 bermula hari ini, dilaksanakan dalam tiga fasa hingga Oktober - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Banci Ekonomi 2026 bermula hari ini, dilaksanakan dalam tiga fasa hingga Oktober - DOSM

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Jan – Pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) yang bermula hari ini hingga 31 Oktober depan akan dilaksanakan menerusi tiga fasa utama bagi memastikan liputan menyeluruh ke atas landskap ekonomi negara, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, fasa pertama bermula 5 Januari hingga 28 Februari 2026 melibatkan pengumpulan data pertubuhan sektor informal dan mikro, diikuti fasa kedua dari 1 Mac hingga 30 Jun 2026 bagi kategori pertubuhan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Fasa ketiga pula akan dilaksanakan dari 1 Jun hingga 31 Oktober 2026, membabitkan pertubuhan sederhana serta besar.

 

“Banci Ekonomi 2026 merupakan banci keenam sejak diperkenalkan pada 2001 dan dijangka meliputi 1.34 juta pertubuhan perniagaan di peringkat nasional, termasuk 180,000 pertubuhan di tiga Wilayah Persekutuan (WP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, berdasarkan rekod terkini DOSM bagi 2025, struktur pertubuhan perniagaan negara terdiri daripada 74.3% pertubuhan mikro, 20.8% pertubuhan kecil, 1.1% pertubuhan sederhana dan 3.8% pertubuhan besar.

 

“Dari segi sektor, perkhidmatan mencatat peratusan tertinggi iaitu 83.6% (117,778), diikuti pembinaan 8.8% (74,308), pembuatan 5.5% (25,010), pertanian 1.9% (3,354) serta perlombongan dan pengkuarian 0.2%,” katanya.

 

Beliau berkata, sebanyak 2,049 pertubuhan di Putrajaya terlibat dalam BE2026, terdiri daripada pertubuhan mikro 63.5%, pertubuhan kecil 25.3%, pertubuhan sederhana 1.3% dan pertubuhan besar 10%.

 

Menurutnya, struktur ekonomi WP Putrajaya didominasi oleh sektor perkhidmatan, khususnya pentadbiran awam, profesional, pendidikan, kesihatan, hospitaliti, perniagaan sokongan serta aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan.

 

“Komposisi perniagaan di Putrajaya turut merangkumi PMKS, perniagaan mikro dan aktiviti perkhidmatan informal yang menyokong peranan Putrajaya sebagai bandar pentadbiran negara,” katanya.

 

Mohd Uzir berkata, BE2026 turut memberi tumpuan kepada landskap ekonomi baharu dengan penekanan khusus kepada ekonomi rakyat termasuk perkhidmatan bergerak, platform gig, perniagaan mikro dan aktiviti perniagaan tidak formal.

 

“Buat pertama kalinya, banci ini meliputi sektor informal seperti penjaja makanan, peniaga pasar tani, kedai runcit kecil dan pengusaha pengangkutan.

 

“Selain itu, rumah inap desa, pusat tuisyen, perniagaan mikro bergerak serta pelbagai aktiviti ekonomi sokongan yang menyumbang secara signifikan kepada ekosistem ekonomi setempat dan kawasan bandar terancang seperti Putrajaya,” katanya.

 

Menurut beliau, BE2026 berperanan sebagai penanda aras baharu bagi penyusunan statistik ekonomi negara termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut sektor dan industri, Jadual Input-Output (IO) serta pelbagai indeks utama industri dan harga.

 

Tambahnya, DOSM menyasarkan semakan semula tahun asas baharu kepada 2025, yang dijangka diguna pakai mulai 2028, selari dengan keperluan penggunaan data ekonomi yang lebih terkini.

 

“Ketika ini, Malaysia masih menggunakan tahun asas 2015 bagi pengukuran data ekonomi. Justeru, kemas kini perlu dibuat agar selari dengan situasi sebenar ekonomi negara pasca pandemik Covid-19,” katanya.

 

Beliau berkata, data daripada BE2026 dijangka tersedia seawal suku pertama 2027, dengan sasaran penggunaan rasmi tahun asas baharu pada 2028.

 

“Kalau dapat lebih awal itu bonus, namun 2028 adalah sasaran munasabah kerana proses penyelarasan data perlu berjalan dengan teratur,” katanya. - DagangNews.com