Balai Seni Negara angkat naratif seni serantau melalui Pameran KePulauan : Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Balai Seni Negara angkat naratif seni serantau melalui Pameran KePulauan : Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot (berbaju kuning) bersama para kurator dan seniman dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina di Majlis Perasmian Pameran Kepulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari.
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai – Pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari yang menghimpunkan karya seni daripada seniman-seniman rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur - Brunei Darussalam- Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP- EAGA). membuka tirainya hari ini.

 

Majlis perasmian pameran yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) itu berlangsung meriah malam tadi.

 

Perasmian telah disempurnakan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan majlis turut dihadiri Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad; pegawai-pegawai kanan MOTAC; jabatan dan agensi, serta para kurator dan penggiat seni visual dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina.

 

Pameran itu mula dibuka kepada orang ramai bermula hari ini hingga 31 Mei 2026 di Galeri 3A, Balai Seni Negara.

 

Ia merupakan salah satu inisiatif di bawah agenda diplomasi budaya yang selaras dengan Pelan Strategik MOTAC 2021–2025, terutamanya dalam memperkasa jaringan kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan kebudayaan. 

 

test
 
Datuk Shaharuddin Abu Sohot (kanan) dan Amerrudin Ahmad (dua dari kanan) melawat pameran diplomasi budaya yang berlangsung sehingga 31 Mei 2026 di Balai Seni Negara.
 

 

Penganjurannya juga sejajar dengan visi BIMP-EAGA 2025 yang berteraskan prinsip berdaya tahan, inklusif, mampan dan berdaya saing dari segi ekonomi (R.I.S.E), serta menjadi antara pengisian sempena meraikan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

 

Melalui pameran ini juga, Balai Seni Negara memberi tumpuan kepada refleksi visual para seniman dari keempat-empat negara yang menyentuh dimensi ekonomi, hubungan sosial, penjagaan alam sekitar, keilmuan serta yang paling utama, kearifan tempatan dalam wilayah timur ASEAN. 

 

Wilayah ini merangkumi keseluruhan kesultanan Brunei Darussalam dan jalur Kalimantan dari Pontianak hingga Balikpapan di Indonesia, wilayah Sulawesi dan Maluku, negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Borneo Malaysia, serta bahagian selatan Filipina yang meliputi Kepulauan Mindanao dan Palawan.
 

Antara seniman yang terlibat ialah Josrie Haral, Muslim Mattajim dan Dr. Mohamad Faizuan Mat dari Malaysia. 

 

Brunei pula diwakili oleh Umi Zaty Bazillah Zakaria dan Asilah Maziyah Dr. Mohamad Yussof manakala seniman dari Filipina terdiri daripada Chester M. Mato, Romy Jones Mata, Leonard B. Ansiong, Brendale Taj Hassan Tadeo dan Alynnah Macla.

 

Selain itu, Indonesia diwakili oleh Audro Chrustofel Rompas, bersama dua kolektif seni iaitu Susur Galur dari Pontianak yang menghimpunkan Muchamad Riduwan, Tito Prastio dan Elfrida Citra Rominggagas, serta Muara Suara dari Samarinda yang terdiri daripada Robby Ocktavian, Prashasti Wilujeng Putri dan Rio Raharjo.

 

Penglibatan kurator serantau turut menjadi tarikan dalam pameran ini yang melibatkan Zakaria Omar dari Brunei Darussalam, I Wayan Seriyoga Parta dan Gusti Hendra Pratama dari Indonesia, serta Al Nezzar Ali dari Filipina.

 

Pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari membawakan pelbagai bentuk ekspresi artistik termasuk media campuran, instalasi, catan, fotografi, audio dan videografi.

 

Sebanyak 12 karya dipamerkan, termasuk satu karya daripada Koleksi Seni Visual Negara oleh seniman dari Malaysia, Yee I-Lann.

 

test
Seniman memberi penerangan mengenai karya kepada tetamu-tetamu kehormat semasa sesi lawatan 

 

Orang ramai dijemput hadir untuk menghayati pelbagai naratif seni dari rantau BIMP- EAGA, sekali gus membuka ruang kepada pemahaman yang lebih meluas terhadap persamaan dan perbezaan dalam landskap budaya Timur Asia Tenggara. 

 

Maklumat lanjut mengenai pameran ini, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman 
sesawang www.artgallery.gov.my. - DagangNews.com