KUALA LUMPUR 23 Sept – Bajet 2026 dijangka meningkatkan bekalan rumah mampu milik dan merangsang permintaan bagi hartanah premium, kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.
Beliau berkata, langkah kerajaan melalui subsidi bersasar, pelaburan infrastruktur utama dan inisiatif pertumbuhan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 akan mengukuhkan pasaran hartanah pada semua peringkat.
“IQI menjangkakan jumlah transaksi kediaman pada 2026 meningkat antara 3% hingga 5% berbanding tahun 2025.
“Kenaikan ini didorong oleh pembelian rumah kali pertama oleh individu dan golongan pertengahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada beberapa faktor dengan pemacu utamanya adalah bantuan tunai RM15 bilion STR dan SARA yang membolehkan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana membeli rumah lebih besar.
“2026 adalah tahun pertama isi rumah di Malaysia menikmati peruntukan STR dan SARA yang diperluaskan.
“Dengan tambahan STR dan SARA, keluarga berpendapatan RM3,000 sebulan kini boleh meningkatkan kemampuan membeli rumah daripada RM209,000 kepada RM279,000.
“Bagi keluarga berpendapatan RM4,850 sebulan, kemampuan pembelian rumah mereka meningkat daripada RM339,000 kepada RM408,000, selaras dengan harga rumah mampu milik baharu di bandar,” katanya.

Selain bantuan tunai, beliau berkata, kos pinjaman gadai janji kini menjadi lebih rendah selepas OPR diturunkan kepada 2.75% pada Julai 2025.
“Selain itu, Bajet 2026 juga mungkin mengekalkan Step-Up Financing bagi isi rumah tanpa dokumen pendapatan tetap melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad.
“Sokongan kewangan ini diumumkan dalam Bajet 2025 dan dijangka diteruskan dalam Bajet 2026.
“Program lain yang memberi kesan langsung kepada kemampuan keluarga membeli rumah ialah pelepasan cukai faedah gadai janji bagi rumah bernilai RM500,000 hingga RM750,000,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan menyalurkan subsidi terus kepada isi rumah yang memerlukan sangat memudahkan rakyat memiliki rumah dan mengurangkan beban kewangan mereka.
“Secara keseluruhan, peningkatan 3% hingga 5% adalah anggaran yang munasabah dan boleh dijadikan panduan oleh pemain industri.
“Dari segi ekonomi, pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka antara 4% hingga 4.8% pada 2025 dan kekal stabil pada 2026.
“Pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, AI dan tenaga boleh diperbaharui akan turut menyokong pertumbuhan ekonomi dan permintaan perumahan,” katanya.
Berdasarkan statistik, pasaran hartanah Malaysia mencatat rekod tinggi pada 2024 dengan 420,525 transaksi bernilai RM232.3 bilion.
Separuh pertama 2025 pula menunjukkan sedikit penurunan jumlah transaksi tetapi harga hartanah kekal stabil.
Beliau berkata, projek infrastruktur utama seperti Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura dan MRT3 dijangka merangsang pembinaan baharu serta meningkatkan permintaan perumahan.
“Bajet 2026 mewujudkan peluang di semua peringkat pasaran hartanah, meningkatkan bekalan rumah mampu milik dan menggalakkan permintaan hartanah premium, menjadikan pasaran lebih kukuh dan seimbang,” katanya. - DagangNews.com








