KUALA LUMPUR 29 Ogos – Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) berharap kerajaan dapat membantu syarikat itu dengan membiayai separuh daripada jumlah yang diperlukan bagi menyiapkan Bahagian 2 Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).
Timbalan Pengerusi Eksekutif AZRB, Datuk Seri Wan Zakariah Wan Muda berkata, syarikat itu memerlukan tambahan RM300 juta untuk menyiapkan lebuh raya tersebut.
“Setakat ini, Bank Pembangunan Malaysia Bhd telah bersetuju untuk membiayai separuh daripada jumlah tersebut.
“Kami berharap kerajaan dapat menyediakan separuh lagi daripada pembiayaan tambahan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Bahagian 1 lebuh raya di persimpangan bertingkat Ampang hari ini.
EKVE adalah laluan berbentuk orbit dan membentuk bahagian timur Lebuhraya Lingkaran Kuala Lumpur.
Lebuh raya itu akan menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dengan akses pintas untuk pergerakan kenderaan dari utara – selatan tanpa perlu masuk ke pusat bandar.
Lebuh raya bertingkat dua lorong sepanjang 39.66 kilometer itu menghubungkan Bandar Sungai Long dan Ukay Perdana dengan jarak laluan utama sepanjang 24.16 km dan 12 km laluan cabang.
Lebuh raya ini sepatutnya disiapkan pada 2019.
Bagaimanapun kelewatan berlaku akibat peningkatan kos pembinaan, cabaran pembinaan disebabkan geografi berbukit, serta gangguan akibat pandemik Covid-19. - DagangNews.com








